Aminuddin persoal keputusan EXCO isu kedudukan Tuanku Muhriz

essabuyamin@bh.com.my

Kuala Lumpur: Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, mempersoalkan pengumuman Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) berhubung kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, semalam.

Aminuddin berkata, beliau memberikan penjelasan berhubung perkara itu kerana dokumen yang menjadi asas kepada pengumuman berkenaan, iaitu proklamasi yang didakwa bertarikh 19 April lalu dan dikatakan dibuat Undang Yang Empat, pernah dikemukakan kepadanya ketika masih memegang jawatan Menteri Besar.

Katanya, beliau ialah Menteri Besar Negeri Sembilan pada 19 April lalu dan terus memegang jawatan berkenaan sehingga 2 Ogos lalu

“Pada 20 April lalu, dokumen proklamasi itu dikemukakan kepada saya untuk ditandatangani menurut Perkara 10(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.

“Saya enggan menandatangani dokumen berkenaan atas sebab-sebab yang sudah saya nyatakan secara terbuka pada ketika itu.

“Saya menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak dapat menerima dan tidak mengiktiraf tindakan Mubarak Dohak yang terbabit dalam urusan proklamasi berkenaan serta menyempurnakannya pada 19 April lalu kerana beliau bukan lagi Undang Luak Sungai Ujong,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Aminuddin mendakwa, tiada siasatan penuh dan lengkap seperti yang dikehendaki Perkara 10(1) UUTKNS pernah 1959 dijalankan di hadapannya.

Beliau berkata, dakwaan Undang Luak Johol dalam afidavit sokongan bertarikh 17 Julai 2026 bahawa siasatan berkenaan dijalankan dalam mesyuarat pada 5 Mac 2026 di Balai Undang Sungai Ujong adalah tidak benar.

“Tidak ada sebarang dakwaan pernah dikemukakan terhadap Tuanku Muhriz. Baginda juga tidak pernah diberi peluang untuk menjawab sebarang dakwaan.

“Hal ini suatu pelanggaran serius terhadap prinsip keadilan asasi,” katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin turut mempersoalkan perubahan pendirian Kerajaan Negeri berhubung status proklamasi berkenaan.

Beliau berkata, pada 9 September lalu, Kerajaan Negeri menyatakan secara terbuka bahawa dokumen proklamasi berkenaan tidak memenuhi proses dan tatacara ditetapkan dalam Perkara 10 UUTKNS 1959, selain menyifatkannya tidak sah, bercanggah dengan perlembagaan dan tidak boleh dilaksanakan.

“Namun, tujuh hari kemudian EXCO Kerajaan Negeri yang sama memutuskan bahawa proklamasi itu sudah lengkap dan berkuat kuasa. Perubahan pendirian ini sukar difahami.

“Menurut UUTKNS, ahli-ahli EXCO tidak mempunyai kuasa untuk membuat apa-apa keputusan berhubung dengan kedudukan Tuanku Muhriz,” katanya.

Aminuddin berkata, Dewan Keadilan dan Undang yang bersidang pada 13 September dan mengeluarkan keputusan pada 14 September lalu turut menegaskan bahawa proklamasi berkenaan tidak sah dan terbatal sejak awal.

“Keputusan itu juga menegaskan Tuanku Muhriz ialah satu-satunya Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan keputusan berkenaan sudah disampaikan kepada Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri serta Penasihat Undang-Undang Negeri,” katanya.

Aminuddin turut mempersoalkan pengumuman pada semalam yang menyatakan proklamasi hanya disempurnakan menurut Perkara 10(2) UUTKNS 1959 selepas Menteri Besar menandatangani dokumen berkenaan pada 3 Ogos lalu.

“Namun, pengumuman yang sama turut menyatakan bahawa seorang pengganti sudah dipilih pada 19 April 2026 menurut Perkara 11. Pengganti tidak boleh dipilih selagi jawatan berkenaan masih disandang.

“Saya tidak mengiktiraf pengumuman pada semalam itu. Saya menegaskan bahawa Tuanku Muhriz ialah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

“Tindakan ahli-ahli EXCO mengeluarkan pengumuman itu suatu perbuatan derhaka terhadap Tuanku Muhriz dan saya menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap setiap ahli EXCO yang terbabit,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top