Pendirian Pas tak berganjak, pertahan PN, perkukuh MN – Utusan Digital

Pendirian Pas tak berganjak, pertahan PN, perkukuh MN – Utusan Digital

PUTRAJAYA: Pas masih tidak berganjak dengan pendirian mempertahankan Perikatan Nasional (PN) dan memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka seterusnya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, langkah itu pada masa sama demi mengekang kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam sebarang pilihan raya.

Menurut beliau, Majlis Syura Ulama akan bersidang pada Ahad ini untuk memutuskan penggunaan logo dalam PRN Melaka, sama ada menggunakan logo parti itu sendiri atau logo lain.

“Ya. Pas masih kekal dengan pendirian pertahankan PN dan perkukuhkan MN kerana ia adalah jalan menyatukan umat Islam di tanah Melayu.

“Ini juga bagi mengekang kemenangan PH dalam PRN dan PRU-15 nanti,” katanya di sini.

UMNO akan memuktamadkan keputusan sama ada kedua-dua parti itu akan meneruskan kerjasama menerusi MN dalam PRN Melaka pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO hari ini.

Bagaimanapun, UMNO tidak menolak kemungkinan akar umbi parti itu sememangnya lebih cenderung untuk meneruskan kerjasama dengan Pas melalui persepakatan itu, namun kerjasama UMNO menerusi MN bergantung kepada Pas sama ada mahu meneruskan kerjasama atau sebaliknya.

Pas juga optimis gagasan MN dan PN menuju penyatuan sebelum hari penamaan calon dalam PRN Melaka.

Namun, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum menyatakan, BN membuat keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRN Melaka sebagai menghormati ketetapan Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini.

Keputusan itu menyaksikan Pas tersepit antara kepentingan PN atau MN yang mana Pas menganggotai PN bersama Bersatu.

PN dianggotai Bersatu bersama Pas, Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Parti Progresif Sabah (SAPP), dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (gerakan), selain disokong Parti Bersatu Sabah (PBS), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS), selain ahli parlimen bebas.

UMNO juga pernah menjadi sekutu PN, namun menarik balik sokongannya pada Ogos lalu, manakala MN pula dianggotai UMNO dan Pas, dengan Bersatu pernah dicadangkan untuk turut menyertainya, namun masih belum mencapai persetujuan.

Scroll to Top