JOHOR BAHRU: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hadir ke majlis perjumpaan bersama pimpinan utama UMNO, MCA dan MIC Johor pada pagi ini.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO tiba ke pekarangan Pejabat Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor bersama Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan kira-kira pukul 11 pagi.
Turut hadir pada majlis pertemuan itu ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Pemimpin BN lain yang turut kelihatan ialah Pengerusi UMNO Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad; Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed; Setiausaha MCA Johor, Ng Keng Heng dan Ketua Pemuda MIC, K. Raven.
Kehadiran kesemua pemimpin parti berkenaan dirakamkan oleh petugas media daripada pelbagai agensi yang mula berkumpul di lokasi ini seawal pukul 9 pagi.
Difahamkan perjumpaan yang diadakan itu bagi membincangkan soal pengagihan kerusi yang akan ditandingi parti komponen BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi.
Pada Isnin, UMNO dilaporkan mahu bertanding sekurang-kurangnya 42 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dalam PRN ke-15 nanti.
Mohamad dilaporkan berkata, jumlah itu belum mengambil kira kerusi DUN bagi parti komponen BN yang lain.
Sabtu lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor selepas menerima mengadap Hasni.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataan pula melaporkan akan mengadakan mesyuarat berkenaan PRN Johor pada 9 Februari depan bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berkenaan PRN Johor. -UTUSAN ONLINE




