Johor Bahru: Seorang anggota polis bantuan di sebuah resort dekat Desaru, Johor berdepan detik paling cemas apabila terpaksa menyambut sendiri kelahiran bayinya tanpa bantuan sesiapa baru- baru ini.
Mohd Hafis, 35, memaklumkan reaksi itu susulan hantaran dimuat naik isterinya, Nur Farah Hidayah Mohd Hasdi di Facebook (FB) menarik perhatian warganet hingga tular di laman sosial.
Menerusi hantaran bertajuk ‘Suamiku Doula dan Bidan’ itu, Nur Farah berkongsi pengalamannya melahirkan anak ketiganya seorang bayi lelaki pada 13 Februari di dalam kereta dekat Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Layang, Ulu Tiram, Johor dengan bantuan suaminya.
Bercerita lanjut, Mohd Hafis berkata, insiden berkenaan berlaku ketika dia bersama isteri dan anak sulung, Nur Farisya Humaira, 7, dalam perjalanan ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, Johor dari rumah mereka di Bandar Penawar.
Katanya, keadaan terkawal sehingga dia mendengar isterinya yang berada di sebelah meraung kesakitan.
“Waktu itu, perasaan panik bercampur cemas kerana saya sedang memandu tetapi dikejutkan dengan suara isteri meraung di sebelah.
“Mulanya saya cuba untuk memandu lebih laju tetapi berhenti di tepi jalan selepas isteri memberitahu air ketubannya dah pecah.
“Melihat keadaan terkawal, saya teruskan semula perjalanan tetapi berhenti di R&R berhampiran tidak lama kemudian selepas mendapati kepala bayi sudah keluar pada paras leher,” katanya ketika dihubungi media.
Mohd Hafis berkata, walaupun gementar dia cuba mengawal perasaan itu dan segera keluar daripada kereta untuk membantu isterinya.
Katanya, dia segera bertindak dan mengambil tuala bagi membantu proses kelahiran kerana bimbang bayi lemas jika lewat bertindak.
“Mulanya macam sukar namun saya cuba yakinkan isteri dan akhirnya bayi kami selamat dilahirkan pada 4.47 pagi.
“Selesai kelahiran, saya balut bayi dengan tuala dan letaknya di pangkuan isteri rasa lega bila dengar tangisan.
“Saya teruskan perjalanan tetapi berhenti seketika apabila teringat belum melaungkan azan di telinganya sebelum terus memandu ke hospital dan tiba jam 5 pagi,” katanya.
Mohd Hafis berkata, perasaan cemas dan gementar tempoh hari disebabkan dia tiada pengetahuan dan bimbang seandainya berlaku perkara tidak diingini.
“Syukur semuanya selamat dan apa yang berlaku pastinya satu pengalaman tidak dapat dilupakan. Insya-Allah, saya akan lebih tenang jika berdepan lagi insiden itu pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, isterinya, Nur Farah berkata, dia sekadar memuat naik kisah itu bagi berkongsi pengalaman dilalui dengan rakan di laman sosial.
Katanya, dia berharap perkongsiannya itu membuka mata pasangan di luar sana terutama golongan suami untuk bersiap sedia dalam situasi di luar jangkaan.
“Keadaan pada waktu itu agak kelam kabut kerana kami tidak bersedia malah hari masih gelap dan tiada siapa di kawasan berkenaan.
“Namun saya bersyukur kerana saya dan bayi selamat. Saya tahu suami cemas cuma mungkin dia dapat mengawal perasaan kerana pernah menemani saya di wad bersalin ketika melahirkan anak sulung.
“Dalam situasi seperti itu, suami yang harus tenang dan memainkan peranan untuk menenangkan isteri mereka sehingga selamat melahirkan bayi,” katanya yang belum menamakan bayinya dan kini berpantang di rumah mentuanya di Ayer Hitam, Johor.
Malay News
Social Media Updates



