Kuala Lumpur: Semangat “Kita Jaga Kita” dapat dilihat melalui usaha guru, pelajar dan ibu bapa yang bertungkus lumus dan saling bekerjasama dalam memastikan kelancaran peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula hari ini.
Tinjauan media di beberapa sekolah mendapati Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah dalam Norma Baharu 2.0 dan semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dipatuhi bagi memastikan pengurusan pelajar yang sistematik serta mencegah penularan wabak COVID-19.
Di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Engku Husain, Semenyih, calon SPM hadir seawal jam 7 pagi dengan kebanyakannya tidak perlu diberitahu oleh guru yang bertugas untuk menjaga penjarakan fizikal, bahkan mereka segera mengimbas suhu badan dan mencuci tangan sebaik masuk ke sekolah.
Pelajar juga melakukan persiapan yang rapi termasuk bersedia dengan borang deklarasi saringan COVID-19 yang lengkap diisi untuk diserahkan kepada Ketua Pengawas Peperiksaan.
Memandangkan lokasi sekolah berkenaan menjadi laluan utama pengguna jalan raya, Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) turut turun padang bagi mengawal lalu lintas dan memastikan keselamatan pelajar terutama yang menaiki motosikal.
Sementara itu, tinjauan media pada tengah hari selepas tamat kertas Bahasa Melayu Kertas 1 di SMK Saujana Impian mendapati ramai pelajar yang tinggal berhampiran sekolah mengambil peluang pulang ke rumah sementara menunggu sesi peperiksaan pada sebelah petang.
Ibu bapa turut bersyukur kerana keprihatinan kerajaan bagi memastikan calon SPM 2020 dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan selamat dan terhindar daripada risiko COVID-19.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang, turut memuji kelancaran dan tahap pematuhan yang tinggi terhadap semua SOP ditetapkan.
“Semuanya lancar dan pematuhan terhadap SOP pengurusan peperiksaan dan aspek keselamatan berada pada tahap yang baik.
“Tahniah diucapkan kepada Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan atas perancangan rapi bagi memastikan peperiksaan kali ini berjalan lancar,” katanya.
Menurutnya, sepanjang hari pertama SPM 2020, mereka menerima banyak respon positif dalam kalangan pengawas peperiksaan yang bertugas.
Sumber: Berita Harian



