Delhi tarik balik perintah berkurung hujung minggu

Delhi tarik balik perintah berkurung hujung minggu

NEW DELHI: Ibu negara India menarik balik perintah berkurung pada hujung minggu dengan membenarkan restoran dan pasar dibuka semula pada hari Jumaat, berikutan penurunan ketara jangkitan baharu COVID-19.

Bagaimanapun, kata Leftenan Gabenor Delhi, Anil Baijal, di bawah arahan baharu itu bandar berkenaan akan kekal berada di bawah perintah berkurung pada waktu malam dan sekolah masih ditutup.

Restoran, bar dan pawagam akan dibenarkan beroperasi dengan kapasiti sehingga 50 peratus manakala bilangan orang di majlis perkahwinan pula dihadkan kepada 200 orang.

“Memandangkan penurunan kes positif, kita memutuskan untuk melonggarkan sekatan secara beransur-ansur.

“Pada masa sama, kita memastikan kepatuhan terhadap Tingkah Laku COVID-19 yang Bersesuaian,” kata Baijal bagi pihak kerajaan persekutuan.

Data kerajaan mendapati, jumlah jangkitan baharu di Delhi turun kepada 4,291 kes semalam berbanding 28,867 pada 13 Januari lalu manakala lebih daripada 85 peratus katil COVID-19 di seluruh hospital di bandar itu kosong.

Doktor kanan di Hospital kerajaan, Dr Ram Manohar Lohia, berkata kemasukan ke hospital berkurangan, jauh lebih rendah berbanding dengan apa yang kita lihat dalam gelombang sebelumnya

“Kebanyakan pesakit yang meninggal dunia pula mempunyai sejarah seperti kanser atau penyakit buah pinggang dan kebanyakannya tidak diberi vaksin sepenuhnya,” katanya.

Minggu lalu, pihak berkuasa melonggarkan beberapa sekatan dengan membenarkan sebahagian kakitangan swasta kembali ke pejabat tetapi tetap menasihatkan orang ramai untuk bekerja dari rumah.

Ibu kota itu menjadi salah satu kawasan yang paling teruk terjejas dalam gelombang ketiga COVID-19 disebabkan varian Omicron yang sangat pantas menular.

Keadaan itu memaksa bandar berkenaan mengenakan perintah berkurung pada 4 Januari lalu dan mengarahkan sekolah serta restoran ditutup.

Lewat kelmarin, Setiausaha Dalam Negeri, Ajay Bhalla, dalam satu kenyataan menggesa semua negeri terus berwaspada.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai 407 daerah di 34 negeri dan wilayah kesatuan yang melaporkan kadar jangkitan lebih daripada 10 peratus.

Kementerian Kesihatan berkata India melaporkan 251,209 kes dalam tempoh 24 jam yang lalu, menjadikan jumlah keseluruhan 40.62 juta kes dengan kematian bertambah sebanyak 627 kes menjadi jumlah keseluruhan 492,327 mangsa maut. – REUTERS

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top