Penunggang maut langgar Mazda RX-8 rosak di lorong kecemasan

Penunggang maut langgar Mazda RX-8 rosak di lorong kecemasan

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Subang Jaya: Seorang penunggang motosikal maut selepas melanggar sebuah kereta yang ditinggalkan di lorong kecemasan dalam kejadian di Kilometer (KM) 12.5 Lebuhraya Elite arah utara, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.15 pagi membabitkan dua kenderaan.

“Dalam insiden itu, sebuah motosikal jenis Modenas Ninja yang sedang bergerak lurus telah terlanggar bahagian belakang sebuah motokar jenis Mazda RX-8 yang diletak dan ditinggalkan di lorong kecemasan dipercayai mengalami kerosakan.

“Penunggang motosikal iaitu seorang lelaki tempatan berumur 23 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Beliau berkata, polis kini sedang mengesan pemandu kereta Mazda RX-8 yang dipercayai meninggalkan kenderaan berkenaan di lorong kecemasan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat tentang pemilik atau pemandu yang tinggalkan kereta di lorong kecemasan diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohamad Hamdan Jeramatin di talian 019-4642222,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top