Remaja lelaki kena kurung 3 jam turut didera, diliwat

Remaja lelaki kena kurung 3 jam turut didera, diliwat

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Seorang remaja lelaki berdepan detik cemas apabila dikurung, didera serta dipercayai diliwat lelaki tidak dikenali dalam kejadian di sebuah rumah di pangsapuri di Bukit Kemuning, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian menimpa remaja berusia 14 tahun itu pada jam 12 tengah hari, semalam.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati, suspek memperdayakan mangsa dengan mengajaknya berbual dengan menawarkan pakej internet telefon bimbit dengan syarat remaja itu membantu mengangkat barang di dalam rumah suspek.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mangsa dikesan berjalan bersama suspek sekitar jam 8.05 pagi.

“Mangsa kemudiannya diikat kaki dan tangan sebelum disyaki diliwat oleh suspek.

“Semasa dikurung dan ditinggalkan berseorangan dalam rumah tersebut, mangsa berjaya membuka ikatan dan menjerit meminta bantuan melalui tingkap bilik rumah sebelum diselamatkan oleh jiran berhampiran yang seterusnya menghubungi pihak polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, mangsa dipercayai dikurung kira-kira tiga jam sebelum berjaya diselamatkan jiran berdekatan.

“Suspek kejadian itu sudah dikenalpasti dan usaha mengesan sedang giat dijalankan.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan kejadian berkenaan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Inspektor Mohamad Sabri Abd Rani ditalian 017-2892628,” katanya.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan; Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top