Nenek tidak sangka 'kehilangan' dua cucu serentak, ibu hanya menangis

Nenek tidak sangka 'kehilangan' dua cucu serentak, ibu hanya menangis

‎am@hmetro.com.my

‎Kuala Terengganu: “Selepas ini rumah yang riuh dengan suara dua cucu akan sunyi. Saya tidak sangka akan hilang dua cucu serentak,” kata, Esah Salleh, 76.

Dua cucunya, Nur Afiqah Shahirah Mohd Shawalluddin, 15, Nur Shahila Shahirah Azman, 12, ditemukan lemas di Sungai Jeram Hulu, Manir, di sini, petang tadi.

Menurutnya, Nur Afiqah adalah Orang Kurang Upaya (OKU) lembam dan belajar di kelas Pendidikan Khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Limbong, Manir, manakala adiknya murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Banggol Peradong, Manir.

“Ibu mereka (Suria Sulong, 34) berstatus ibu tunggal dan juga OKU lembam hanya menangis sebaik mengetahui dua anaknya lemas di sungai berkenaan.

‎”Cucu jarang ke sungai tetapi dalam dua ke tiga hari ini, mereka setiap hari pergi ke sungai selepas pulang dari sekolah dan balik semula ke rumah sekitar jam 5 petang.

‎”Saya tidak sangka hari ini hari terakhir mereka ke sungai selepas ditemui lemas di sungai berkenaan.

‎”Ibunya pula diam dan tidak bercakap dan hanya menangis sahaja, mungkin terkejut dengan kejadian yang menimpa dua anak serentak,” katanya ditemui di lokasi kejadian, petang tadi.

‎Esah berkata, dia memiliki beberapa lagi cucu lain tetapi Nur Aqilah dan Nur Suhaila serta ibunya, Suria tinggal bersamanya sejak tiga tahun lalu selepas berpisah dengan suaminya.

‎”Selepas ini hanya mak cik dengan anak (Suria) sahajalah yang tinggal dalam rumah ini. Makcik terima kejadian yang menimpa dua cucu dan reda dengan takdir Ilahi dan sangat bersyukur kerana mayat dua cucu tidak lama berada dalam air,” katanya.

‎Esah berkata, jenazah dua cucunya akan disemadikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jeram, esok selepas solat Zuhur.

‎Dua beradik itu ditemukan lemas kira-kira jam 6 petang selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi dengan dua lagi rakan iaitu Noor Shaqira Abdul Fatah dan Nurul Ain Fatihah Mohd Zamri, masing-masing berusia 12 tahun.

Dua lagi mangsa tersebut berjaya diselamatkan penduduk kampung.

Berita berkaitan:

Dua beradik lemas: Mayat Nur Afiqah, Nur Suhaila ditemukan di dasar sungai

Dua beradik dikhuatiri lemas, dihanyut arus deras ketika mandi sungai

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top