bhnews@bh.com.my
KUDAT: Seorang tekong warga Indonesia dilaporkan hilang selepas bot dinaikinya karam di perairan daerah ini, semalam.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau, berkata pihaknya mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (Operasi Carilamat) selepas menerima aduan mengenai tekong bot lantingan itu, Rijal Idris, 45, yang gagal dihubungi sejak jam 5 pagi semalam.
“Bot mangsa ditemui karam di perairan Sibogo, Pulau Banggi oleh nelayan tempatan kira-kira jam 9 pagi semalam dan Operasi Carilamat kemudian diaktifkan jam 1.45 petang di lokasi terakhir mangsa di sekitar Utara Pulau Malawali,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah diatur gerak ke lokasi kejadian bagi melaksanakan pencarian awal.
Boon Chin berkata, bot-bot nelayan yang berada di kawasan berkenaan turut membantu dalam Operasi Carilamat sebelum ditangguhkan jam 6.30 petang dan disambung jam 7 pagi tadi.
“Kawasan pencarian dibahagikan kepada empat sektor dengan keluasan 61 batu nautika persegi. Turut membantu usaha pencarian ialah sebuah aset daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya memohon kerjasama masyarakat sekitar daerah ini untuk melaporkan sekirannya terdapat maklumat atau menemui sebarang petunjuk bagi membantu Operasi Carilamat itu kepada Pusat Operasi Kudat di talian 088-611858 dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




