Kejohanan renang dunia ditangguh angkara COVID-19

Kejohanan renang dunia ditangguh angkara COVID-19

TOKYO: Kejohanan Renang Dunia yang dijadual berlangsung di Fukuoka, Jepun pada Mei ini ditunda ke Julai tahun depan.

Perkara itu diumumkan Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) dengan alasan utama kerana pandemik COVID-19.

Edisi ke-19 itu pada awalnya dijadual berlangsung pada 2021, namun ditunda kerana pandemik dan penangguhan Sukan Olimpik Tokyo sebelum ditetapkan untuk diadakan dari 13 hingga 29 Mei ini.

“Dengan situasi pandemik dan langkah yang diambil di Jepun, FINA dan pemegang taruh Jawatankuasa Penganjur Fukuoka 2022 bersetuju menetapkan semula Kejohanan Dunia FINA ke-19,” kata Presiden FINA, Husain Al-Musallam.

FINA dalam pada itu berkata Kejohanan Dunia ke-20 di Doha, Qatar akan berlangsung pada Januari 2024 berbanding tarikh asal iaitu pada November 2023.

“Keputusan ini diambil sebagai langkah terbaik untuk semua pihak yang terbabit,” kata Al-Musallam.

“FINA akan terus mengutamakan kebajikan peserta kejohanan dan membuat keputusan seawal mungkin mengikut keadaan semasa, sebagai langkah menetapkan kepastian buat atlet akuatik dan pihak yang menyokong mereka.”

– REUTERS

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top