zaidim@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Sebaik industri kreatif kembali ‘hidup’ dengan aktiviti seni termasuk kerja rakaman dan penggambaran kandungan untuk pelbagai platform, mula kedengaran rungutan penerbit atau pelabur mengenai kadar bayaran dikenakan artis yang ditawarkan peluang beraksi dalam produk yang mahu dihasilkan.
Persis situasi kenaikan harga barang mentah di pasaran, begitulah yang dilihat berlaku dalam industri kreatif apabila semakin ramai penerbit resah dengan sikap segelintir artis yang didakwa terlalu ‘demanding’ dan tidak mahu bertolak ansur soal bayaran, ketika permintaan terhadap bakat mereka tinggi.
Beberapa penerbit mendakwa sejak aktiviti penggambaran aktif semula, semakin banyak syarikat produksi menawarkan peluang pekerjaan kepada artis hingga berlaku situasi ‘lambakan’ job, namun masalah timbul apabila sektor kreatif kekurangan artis terutama nama besar.
Situasi ini dikatakan memberi peluang kepada segelintir artis termasuk dalam kalangan Gred A untuk mengenakan kadar bayaran tinggi, malah ada yang dianggap penerbit tidak masuk akal.
Tidak cukup itu, campur tangan pengurus artis menyebabkan berlakunya situasi ‘lebih sudu daripada kuah’, selain kecenderungan segelintir pelakon menerima lebih daripada satu ‘job’ pada masa sama dan berlagak ‘diva’.
Tidak tahan dengan masalah dihadapi, pengarah, Eyra Rahman meluahkan perasaan dalam media sosial, baru-baru ini, mewakili teman seperjuangan dan rakan penerbit terhadap kerenah segelintir artis berhubung kadar bayaran.
“Benar, sekarang kita hadapi masalah kekurangan pelakon, pada masa sama projek banyak. Situasi itu membuka banyak cerita yang tidak sedap didengari termasuk harga berlakon (kadar bayaran) luar biasa.
“Saya ada cadangan kepada artis dijaga pengurus yang menetapkan harga mengarut. Cuba pengurus itu duduk di kerusi penerbit, baru mereka tahu apa maksud saya.
“Hendak letak harga, biarlah berpatutan. Apabila ‘tekan’ harga tinggi, agak-agaknya tahu atau tidak penerbit terpaksa ‘potong’ gaji pihak lain dalam produksi? Tentulah pekerja produksi termasuk kru (yang dipotong kadar bayaran),” katanya kepada BH Online.
Eyra yang menghasilkan filem M4M4 berkata, andai artis meletakkan harga tinggi, biarlah berbaloi dan disokong dengan sikap profesional mereka yang tidak menyusahkan pihak lain.
“Kalau hendak letak harga tinggi, pastikan seimbang dengan tiada sikap negatif… Misalnya, bawa busana sendiri dan pastikan semua ‘tip top’.
“Pendek kata, jadilah profesional sikit. Kalau boleh biarlah sama adil dan ada tolak ansur. Biarlah memudahkan urusan kerja orang lain,” katanya.
Eyra berkata, antara usaha yang boleh diambil pelakon terbabit dalam membantu syarikat produksi adalah menguruskan soal persalinan yang hendak dipakai dalam penggambaran.
“Artis boleh beri sedikit gaji kepada yang pihak menjaga ‘wadrobe’ untuk mencari persalinan dimahukan pengarah. Ini tidak, kadang-kadang datang set penggambaran bawa ‘diri’ sahaja. Paling ketara, hanya sediakan pakaian dalam, selebihnya diharapkan kepada kru.
“Ini bukan penggambaran filem, tetapi drama. Itu belum lagi sikap tidak menghormati masa. Sudahlah datang lewat, hendak dilayan macam raja pula,” katanya memberi contoh aktor Bront Palarae yang mudah diurus biarpun sudah menempa nama di peringkat antarabangsa.
Eyra berkata, sikap segelintir artis yang mementingkan diri, membebankan pihak lain di belakang tabir.
“Letak harga tinggi janganlah sampai menyusahkan orang lain. Saya lihat, industri kita semakin lama makin mementingkan diri atau individualistik. Maknanya, orang belakang tabir yang tidak habis-habis ditindas.
“Penerbit juga yang pening kepala. Hendak bayar artis harga tinggi, kemudian kena sediakan pakaian pelakon. Kalau dapat tajaan busana, hendak minta tolong artis mempromosikan di laman sosial seperti Instagram (IG) pun susah.
“Alasan diberi tidak dibayar untuk mempromosikan baju tajaan. Sudahlah orang tolong cari penaja baju untuk memudahkan kerja, hendak cakap terima kasih pun susah,” katanya.
Selain itu, Eyra berkata, isu kadar bayaran yang diterima penerbit daripada penyiar juga masih di takuk lama, selain terpaksa berdepan kerenah dan ragam.
“Mahukan projek lakonan ‘meletup’ dan ‘trending’, namun kadar bayaran kepada peminat masih ‘sendu’ (rendah). Penerbit juga terpaksa akur dengan pelakon yang dimahukan stesen TV mengikut skop pemasaran dan keuntungan,” katanya.
Tidak cukup itu, Eyra berkata, industri penerbitan juga masih berdepan isu gaji pengarah yang lebih rendah daripada pelakon utama.
“Situasi ini berlaku di Malaysia sahaja. Gaji pekerja belakang tabir atau kru juga dibayar rendah.
“Hakikatnya, merekalah yang tak cukup atau hanya terlelap dalam kenderaan. Namun, mereka tidak pernah mengeluh letih. Apa yang diperoleh sekadar cukup makan saja demi kelangsungan hidup pada era pandemik ini,” katanya.
Pandangan sama diluahkan penerbit dan pengarah, Shuhaimi Lua yang melihat ada artis terlalu ‘demanding’ dan meletakkan kadar bayaran tinggi, selain tidak boleh bertolak ansur soal masa.
Pengarah drama, Oh My Hantaran dibintangi Noki dan Elisya Sandha ini mengakui ada segelintir pelakon suka mementingkan diri sendiri dan sikap begini mula membuka mata penerbit.
“Ingat nanti akan tiba waktunya, artis yang suka berlagak ‘diva’ dan banyak kerenah ini tidak lagi terima tawaran berlakon. Buat masa ini, khidmat mereka diperlukan kerana kita berdepan pandemik COVID-19. Kelak, tahulah langit tinggi rendah.
“Jika tiada tawaran kelak, jangan salahkan perkara lain seperti pengikut media sosial tidak ramai atau belum sampai sejuta orang. Bagi saya, pada akhirnya, bukan jumlah pengikut yang jadi ukuran, sebaliknya sikap artis itu sendiri.
“Kita sama-sama cari makan. Jangan jadikan pekerja belakang tabir sebagai kuli. Saya hanya tawarkan kerja kepada artis yang banyak ‘songeh’ sekali sahaja,” katanya.
Shuhaimi percaya persekitaran kerja yang menyeronokkan menjadi prasyarat kepada penghasilan produk cemerlang.
“Hendak kerja kena seronok. Saya tidak suka mewujudkan suasana persekitaran negatif di tempat mencari rezeki, misalnya, dengan maki-hamun. Saya mahu semua orang buat yang terbaik demi menghasilkan projek bermutu,” katanya.
Shuhaimi berkata, pengurus artis juga perlu menghadiri kursus meningkatkan tahap profesional agar urusan dengan semua pihak lebih mudah.
“Nasihat saya kepada pengurus artis, belajarlah kenal orang sekeliling. Ringankan tangan untuk ‘Google’ siapa tenaga kerja termasuk pengarah sebelum masuk set penggambaran.
“Kita bukan hendak bagi harga bawah siling untuk artis. Sebagai penerbit, kita boleh nilai artis ikut kelas mereka.
“Saya puji artis seperti Ziana Zain, Jasmin Hamid, Raja Azura, Khairil Anwar dan ramai lagi kerana mereka tiada masalah untuk bawa baju sendiri, misalnya. Tiba di set penggambaran, mereka hanya tunggu masa untuk sempurnakan kerja. Malah, skrip sentiasa ada di tangan mereka.
“Artis baharu pula, bukan tidak bagus, tetapi ramai yang berangan popular dan kaki tak pijak ke bumi,” katanya.
Kadar bayaran untuk pelakon watak utama adalah antara RM10,000 hingga RM15,000 bagi sebuah telefilem mengikut jumlah yang lazim disediakan penerbit.
Bagi projek drama rantaian, kadar bayaran adalah RM2,500 hingga RM3,000 bagi sebuah episod.
Pelakon pembantu dibayar gaji harian iaitu antara RM1,000 hingga RM1,500 bagi pelakon baharu. Kadar bayaran untuk artis sudah ada nama atau veteran antara RM1,500 hingga RM2,500.
Semua kadar bayaran berdasarkan rundingan dan persetujuan antara pelakon dan penerbit.
© New Straits Times Press (M) Bhd




