FIFA gantung empat pemain Liga Perdana Inggeris

FIFA gantung empat pemain Liga Perdana Inggeris

LONDON: Empat pemain Liga Perdana Inggeris digantung dua perlawanan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kerana menyebabkan perlawanan antara Brazil dan Argentina pada September dibatalkan.

Dua daripada pemain terbabit adalah bintang Tottenham Giovani Lo Celso dan Christian Romero, manakala gandingan Aston Villa Emiliano Martinez dan Emi Buendia turut dihukum.

Perlawanan yang baru berlangsung selama enam minit terpaksa dibatalkan apabila pegawai kesihatan masuk ke dalam padang untuk menahan empat pemain berkenaan.

Pihak polis turut dikerahkan selepas sepak mula bagi menahan pemain terbabit sebelum menghantar mereka pulang.

Ketika perlawanan itu diadakan, Brazil berada dalam senarai merah United Kingdom, di mana pemain-pemain itu melanggar peraturan Liga Perdana Inggeris yang melarang mereka mengembara ke negara-negara berisiko tinggi COVID-19.

“Selepas siasatan terperinci, Jawatankuasa Disiplin FIFA memutuskan perlawanan itu perlu diadakan semula pada tarikh dan lokasi yang akan diputuskan oleh FIFA.

“Jawatankuasa Disiplin juga memutuskan untuk menggantung pemain Argentina Emiliano Buendía, Emiliano Martínez, Giovani Lo Celso dan Cristian Romero untuk dua perlawanan kerana tidak mematuhi protokol,” kata FIFA.

Persatuan bola sepak kedua-dua negara turut didenda kerana kegagalan mengikut arahan dan memastikan keselamatan – Brazil didenda 300,000 pound (RM1.70 juta) dan Argentina 160,000 pound (RM907,649).

Pemain-pemain berkenaan turut melanggar peraturan COVID-19 di Brazil di mana mereka sepatutnya dikuarantin 14 hari sebaik memasuki negara berkenaan. – AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top