ELK-Desa raih pendapatan suku ketiga lebih tinggi

ELK-Desa raih pendapatan suku ketiga lebih tinggi

KUALA LUMPUR: ELK-Desa Resources Bhd (ELK-Desa) mencatatkan pendapatan sebanyak RM38.20 juta pada suku ketiga berakhir 31 Disember 2021, lebih tinggi berbanding RM37.20 juta yang dicatatkan pada suku sama berakhir 31 Disember 2020.

Dalam suku itu, pemberi pinjaman bukan bank yang memberi tumpuan dalam segmen kereta terpakai mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM14.12 juta, meningkat 14 peratus berbanding RM12.39 juta sebelumnya, berikutan sumbangan yang lebih kukuh daripada segmen pembiayaan sewa beli dan perabot kumpulan.

Namun begitu, pendapatan dan keuntungan sebelum cukai kumpulan bagi tempoh sembilan bulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022, berkurangan kepada masing-masing RM92.93 juta dan RM27.36 juta.

Pengurangan itu disebabkan terutamanya oleh gangguan perniagaan dan operasi segmen perabot berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan dari Jun hingga September 2021 memandangkan krisis COVID-19.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan ELK-Desa, Teoh Seng Hee, berkata prestasi kumpulan yang bertambah baik pada suku ketiga adalah seiring dengan normalisasi operasi perniagaan berikutan PKP.

“Walaupun terdapat ketidakpastian berkurangan pada masa ini berbanding 2021, landskap operasi dalam jangka terdekat masih mencabar.

“Banjir di Lembah Klang baru-baru ini mungkin menjejaskan keupayaan pelanggan kami untuk memenuhi kewajipan pinjaman mereka. Kami memantau keadaan dengan teliti,” katanya dalam satu kenyataan.

Melangkah ke depan dalam jangka pendek, Teoh berkata, ELK-Desa akan terus mengambil pendekatan berhemat dalam mengurus portfolio sewa beli, memastikan kualiti aset di samping mengekalkannya, jika tidak meningkatkan sewa beli belum terima.

Beliau berkata, pihaknya kekal positif terhadap prospek dalam jangka sederhana hingga panjang memandangkan penyelesaian sewa beli dalam pasaran kereta terpakai khusus masih kukuh, lebih-lebih lagi dengan penunjuk makroekonomi seperti keselamatan pekerjaan, keyakinan pengguna dan perniagaan serta ekonomi keseluruhan menuju ke arah pemulihan.

Setakat 31 Disember 2021, sewa beli belum terima kumpulan direkodkan pada RM469.29 juta, iaitu 10 peratus lebih rendah berbanding RM523.13 juta setahun sebelumnya, berikutan kumpulan mengambil sikap yang lebih berhati-hati untuk mengekalkan kualiti aset.

Pinjaman bank kumpulan setakat 31 Disember 2021 merosot sebanyak 17 peratus terutamanya disebabkan oleh pembayaran balik kemudahan blok diskaun dan pinjaman berjangka.

Tiada baki tertunggak untuk Nota Jangka Sederhana kerana ia telah ditebus sepenuhnya dalam tempoh kewangan. Penggearan kekal pada tahap rendah 0.30 kali, yang mana ia lebih rendah berbanding dengan penggearan 0.49 kali setahun sebelumnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top