Murad hormati proses undang-undang selepas DNAA

Murad hormati proses undang-undang selepas DNAA

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan dan perunding prestasi tinggi, Syed Mohammad Murad Syed Naseem tekad akan terus menghormati proses undang-undang sambil memberi tumpuan kepada perniagaan serta pelanggan selepas dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Majistret Shah Alam pada Februari lalu.

Murad, yang lebih dikenali sebagai Murad ‘Baddestcoach’ Zaidi berkata, keputusan mahkamah itu membuktikan pentingnya sesuatu dakwaan dinilai melalui proses perundangan, bukan berdasarkan andaian atau spekulasi.

“Ini bukan hanya tentang saya. Ini tentang kebenaran, proses undang-undang dan bagaimana reputasi seseorang boleh rosak apabila andaian menggantikan fakta,” katanya.

Pada 12 Februari lalu, Mahkamah Majistret Shah Alam memberikan DNAA kepada Murad berhubung satu pertuduhan berkaitan dakwaan mencederakan seorang bekas kakitangan.

Majistret Ameera Mastura Khamis membuat keputusan itu selepas pengadu, M Vijendrakumaraan dan S Dhivyan memaklumkan mahkamah tidak mahu meneruskan kes berkenaan.

Murad dalam pada itu berkata, reputasi yang dibina selama bertahun-tahun melalui disiplin, pengorbanan dan konsistensi boleh musnah dalam sekelip mata sekiranya maklumat tidak benar dibiarkan tersebar tanpa kawalan.

Katanya, kesan penyebaran dakwaan tidak berasas bukan sahaja menjejaskan dirinya, malah turut memberi kesan kepada keluarga, pekerja, rakan perniagaan serta organisasi yang dibinanya selama lebih 15 tahun.

Beliau berkata, segala pertikaian yang masih berbangkit, termasuk yang melibatkan syarikatnya, wajar diselesaikan melalui proses kehakiman kerana mahkamah adalah tempat menentukan kebenaran berdasarkan bukti, bukannya persepsi awam atau komen di media sosial.

Murad turut menegaskan beliau menghormati kebebasan bersuara dan kritikan membina, namun tidak akan berdiam diri terhadap sebarang kenyataan palsu atau berunsur fitnah yang boleh menjejaskan reputasi serta operasi perniagaannya.

“Pasukan peguam saya telah diarahkan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang didapati menyebarkan maklumat tidak benar sehingga menyebabkan kerugian.

“Kes ini mengukuhkan lagi komitmen saya terhadap nilai disiplin, akauntabiliti, daya tahan dan integriti dan berharap kes tersebut menjadi peringatan bahawa keadilan perlu diputuskan berasaskan bukti dan kedaulatan undang-undang, bukannya melalui perbicaraan di media sosial,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Scroll to Top