bhnews@bh.com.my
JOHOR BAHRU: Peningkatan bilangan calon wanita yang diumumkan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menunjukkan parti itu semakin yakin dengan kemampuan wanita menyumbang kepada kemenangan parti.
Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata 10 calon wanita diumumkan oleh BN, tidak termasuk daripada MCA, berbanding enam pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
Dalam pengumuman calon MCA lewat petang tadi, parti itu turut menamakan empat calon wanita, menjadikan keseluruhan 14 mewakili BN.
“Ia menunjukkan kepemimpinan parti mengiktiraf wanita yang mempunyai kemampuan serta kelayakan menjadi wakil rakyat di DUN.
“Ruang luas dibuka untuk membolehkan pelbagai isu wanita diketengahkan di platform yang lebih tinggi dalam sistem kerajaan negeri sama ada menerusi DUN mahupun Mesyuarat Jawatankuasa Kerajaan Negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO, turut merakamkan penghargaan kepada pucuk pimpinan parti.
Katanya, Wanita UMNO dan BN akan berusaha memastikan setiap calonnya menyumbang kepada kemenangan BN pada PRN Johor.
Antara calon Wanita BN ialah Haslinda Salleh di DUN Tenang, Nur Fara Samsudin (Maharani), Nor Rashidah Ramli (Parit Raja), Datuk Sharifah Azizah Syed Zain (Mahkota) dan Rashidah Ismail (Pasir Raja).
Turut dicalonkan, Norliza Noh (Johor Lama), Fauziah Misri (Penawar), Hasrunizah Hassan (Pulai Sebatang) dan Khairin Nisa Ismail (Serom).
© New Straits Times Press (M) Bhd




