lizamridzuan@hmetro.com.my
Serdang: Malaysia Bike Show (MBS) 2026 membuka tirai dengan skala lebih besar apabila menghimpunkan pemain industri motosikal tempatan dan antarabangsa dalam usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab mobiliti dua roda serantau.
Acara yang berlangsung di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) itu berkembang menjadi platform industri yang menghubungkan pengeluar, penggubal dasar, pelabur dan pemain industri automotif, sekali gus mencerminkan pertumbuhan pesat sektor motosikal negara.
Penganjur Malaysia Bike Show 2026, Melvin Lee berkata, motosikal kini bukan lagi sekadar pengangkutan harian, malah menjadi sebahagian daripada gaya hidup serta penyumbang penting kepada ekonomi negara.
“Motosikal memainkan peranan besar dalam landskap mobiliti Malaysia termasuk bagi kegunaan harian, sektor penghantaran, sukan permotoran profesional dan aktiviti pelancongan bermotosikal.
“Malaysia Bike Show kini berkembang menjadi platform industri yang menyatukan pelbagai pihak berkepentingan dalam ekosistem motosikal, selain mempamerkan perkembangan teknologi dan inovasi terkini,” katanya ketika majlis pelancaran di sini.
Malaysia Bike Show 2026 dirasmikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Sri Tiong King Sing yang turut meluangkan masa meninjau pameran motosikal serta teknologi mobiliti dua roda yang dipertontonkan pada acara berkenaan.
Edisi kali ini menghimpunkan 72 pempamer mewakili 92 jenama tempatan dan antarabangsa dengan lebih 300 motosikal dipamerkan termasuk 12 motosikal konsep serta 92 model masa depan.
Katanya, penyertaan 38 jenama antarabangsa turut mencerminkan keyakinan global terhadap potensi Malaysia sebagai destinasi penting industri motosikal di rantau Asia Tenggara.
Selain pameran produk, pengunjung turut berpeluang mencuba sendiri prestasi motosikal menerusi 79 unit pandu uji yang disediakan, selain menyertai aktiviti seperti cabaran tunggangan selamat, sesi gymkhana dan demonstrasi tunggangan secara langsung.
© New Straits Times Press (M) Bhd




