KYIV: Tentera Russia semakin bergerak lebih jauh ke dalam Ukraine ketika keganasan semakin memuncak pada Khamis, yang meragut puluhan nyawa dan meningkatkan peluang kemungkinan Moscow mara ke Kyiv.
Sepanjang hari puluhan peluru berpandu Russia meledak di beberapa bandar Ukraine dan memaksa orang awam menyelamatkan diri di stesen kereta api bawah tanah, dengan ada sebahagian penduduk kehilangan tempat tinggal akibat serangan udara itu.
Beberapa sumber rasmi Ukraine menunjukkan sekurang-kurangnya 68 individu terbunuh di seluruh negara termasuk anggota tentera dan orang awam.
Tentera Russia turut merampas lapangan terbang strategik utama berhampiran Kyiv serta lokasi bencana nuklear Chernobyl, yang masih tercemar dengan bahan radioaktif.
Beberapa saksi memaklumkan, pasukan tentera Russia yang menggunakan payung terjun, merampas kawalan lapangan terbang Gostomel selepas masuk menggunakan helikopter dan jet yang datang dari arah Belarus.
“Helikopter masuk dan pertempuran bermula. Mereka melepaskan tembakan menggunakan mesingan, pelancar grenad,” kata seorang penduduk, Sergiy Storozhuk.
Lapangan terbang itu dilihat menjadi pos strategik untuk Russia membawa masuk tentera dan melancarkan serangan terhadap bangunan kerajaan dan pejabat Presiden Ukraine di Kyiv.
Perisikan Barat memaklumkan, Russia mahu mengepung ibu negara Ukraine itu dengan kekuatan ketenteraan yang besar, dan Moscow sudah menguasai ruang udara Ukraine.
Di kawasan lain, pasukan tentera darat Russia bergerak masuk ke Ukraine dari utara, selatan dan timur, yang memaksa penduduk Ukraine meninggalkan kediaman, dengan bunyi letupan bom terus bergema.
Kementerian Pertahanan Russia berkata, pasukan tenteranya berjaya mencapai objektif untuk hari berkenaan, dan mendakwa sudah memusnahkan lebih 70 sasaran ketenteraan Ukraine, termasuk 11 lapangan terbang.
Olena Kurilo adalah antara 20 individu yang cedera selepas satu letupan memecahkan tingkap kediamannya di bandar Chuguiv di timur Ukraine.
“Dalam apa jua keadaan, saya tidak akan menyerah diri kepada (Presiden Russia, Vladimir) Putin. Lebih baik saya mati,” kata guru berusia 52 tahun itu, dengan mukanya dipenuhi pembalut luka.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menyifatkan wujud ‘dinding besi’ antara Russia dengan seluruh dunia seperti era Perang Dingin, susulan serangan itu.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengumumkan langkah kawalan eksport terhadap Russia bagi menyekat lebih separuh import berteknologi tinggi negara itu, selain sekatan terhadap bank dan elit Russia yang disifatkan sebagai ‘jutawan korup’.
Namun, Biden mengulangi kenyataannya bahawa pasukan tambahan AS tidak dikerah ke timur Eropah untuk menyertai pertempuran di Ukraine, sebaliknya akan mempertahankan ‘setiap inci’ wilayah NATO.
Zelensky menyifatkan serangan Russia di Chernobyl sebagai ‘pengisytiharan perang terhadap seluruh Eropah’, manakala 18 individu terbunuh di pangkalan tentera berhampiran pelabuhan Laut Hitam Odessa, dalam serangan udara tunggal paling buruk dilaporkan Kyiv.
Tentera Ukraine pula memaklumkan sudah membunuh ‘sekitar 50 penceroboh Russia’ ketika membalas serangan di sebuah bandar oleh pemberontak disokong Moscow. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




