Afrika Selatan buntu sebelum Piala Dunia

Afrika Selatan buntu sebelum Piala Dunia

Soweto: Penyerang Burnley, Lyle Foster muncul watak malang apabila gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika Afrika Selatan sekadar seri tanpa jaringan menentang Nicaragua dalam aksi pemanas badan menjelang Piala Dunia 2026, awal pagi tadi.

Skuad Bafana Bafana yang bakal kembali beraksi di pentas Piala Dunia selepas 16 tahun tampak bergelut memecahkan benteng lawan dalam aksi yang berlangsung dalam cuaca sejuk di Soweto.

Peluang terbaik tuan rumah hadir menjelang tamat babak pertama apabila Kamogelo Sebelebele dijatuhkan Justin Cano di dalam kotak penalti, namun Foster mensia-siakan kesempatan itu selepas sepakannya hanya singgah di tiang ketika penjaga gol, Adonis Pineda sudah tertewas.

Afrika Selatan yang akan berlepas ke Mexico esok untuk satu lagi aksi persahabatan menentang Jamaica, jelas kecewa apabila gagal menghadiahkan kemenangan kepada penyokong sendiri sebelum memulakan kempen Piala Dunia.

Mereka dijadual membuka tirai Kumpulan A menentang tuan rumah Mexico pada 11 Jun sebelum berdepan Republik Czech dan Korea Selatan.

Nicaragua yang menghuni ranking ke-131 dunia atau 71 anak tangga di bawah Afrika Selatan pula hadir dengan pendekatan bertahan apabila menggunakan formasi 5-4-1 sebaik wisel permulaan ditiupkan.

Ketua jurulatih Afrika Selatan kelahiran Belgium, Hugo Broos mengakui kecewa dengan corak permainan negatif dipamerkan lawan.

“Sangat sukar untuk bermain menentang pasukan yang terlalu negatif. Mereka juga banyak mengalami kecederaan sehingga mengganggu rentak permainan.

“Kami sukar mencari ruang dan saya harap Jamaica akan lebih mahu bermain bola sepak apabila kami bertemu nanti,” kata pengendali berusia 74 tahun itu yang bakal bersara selepas Piala Dunia.

Sementara itu, pengendali baharu Nicaragua dari Argentina, Juan Cruz Real menyifatkan keputusan seri itu sebagai pencapaian besar buat pasukannya.

“Ini keputusan yang hebat untuk pasukan muda dan eksperimen saya. Mengikat Afrika Selatan adalah lebih daripada apa yang kami jangkakan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top