Malaysia B-18 buru mata pertama hoki Piala Asia

Malaysia B-18 buru mata pertama hoki Piala Asia

PETALING JAYA: Skuad hoki wanita bawah 18 tahun (B-18) kebangsaan kini pada tahap kesiapsiagaan tertinggi untuk berdepan cabaran India pada aksi saingan Piala Asia B-18 di Kakamigahara, Jepun, hari ini.

Pengendali skuad wanita B-18 negara, Siti Amarina Ruhani berkata, kesemua pemain berada pada tahap kecergasan fizikal optimum serta motivasi terbaik untuk menterjemahkan segala taktikal bagi menyekat kemaraan gergasi Asia itu.

“Kem kebangsaan bersedia untuk memastikan setiap strategi yang dirancang dapat diterjemahkan dengan cemerlang khususnya dari aspek pematuhan disiplin ketika menyerang dan bertahan.

“Motivasi barisan pemain berada pada tahap terbaik dan tidak sabar untuk beraksi memandangkan ini merupakan pentas antarabangsa luar negara pertama buat mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Siti bagaimanapun tidak memandang mudah pertemuan hari ini kerana menyedari tugas berat yang menanti memandangkan skuad lawan turun dengan reputasi besar.

“Kita sedar pemain India memiliki kemahiran individu yang sangat baik. Kekuatan mereka itu dibuktikan apabila berjaya mengharungi empat aksi persahabatan kompetitif berdepan pasukan Australia B-18 sebelum ini,” ujarnya.

Menurutnya, anak-anak buahnya mempamerkan corak permainan berintensiti tinggi bagi merealisasikan misi menumbangkan India.

“Pendekatan taktikal utama pasukan adalah memperbanyakkan asakan berkesan ke dalam kawasan D pihak lawan. Strategi serang ini penting bagi menjelmakan seberapa banyak peluang jaringan menerusi gerakan padang mahupun kelebihan Pukulan Sudut Penalti (PCA).

“Pemain dituntut agar tidak melakukan kesilapan mudah yang boleh memberi ruang dan kelebihan kepada pasukan lawan untuk menjaringkan gol.

“Pemain telah berusaha keras memahami setiap input taktikal daripada barisan kejurulatihan untuk dipraktikkan sepenuhnya dalam perlawanan sebenar yang berlangsung hingga 6 Jun ini,” tambahnya.

Dalam satu lagi perlawanan skuad hoki B-18 lelaki akan menentang Bangladesh. – UTUSAN

Scroll to Top