PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak rayuan AirAsia Bhd dan AirAsia X Bhd (AAX) untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikan penghakiman terus kepada Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MASSB) berhubung pembayaran caj perkhidmatan penumpang (PSC) yang tertunggak.
Keputusan itu diputuskan panel tiga hakim, Datuk Has Zanah Mehat, Datuk Azizah Nawawi dan Datuk See Mee Chun dalam prosiding mahkamah yang dijalankan secara dalam talian.
“Kami mendapati tiada merit dalam rayuan AirAsia terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikan penghakiman terus itu,” kata Azizah yang menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah.
Berikutan keputusan itu, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkan AirAsia dan AirAsia X membayar PSC sebanyak RM40.73 juta dan RM792,381 bagi caj pembayaran lewat (LPC) yang belum dibayar kepada MASSB, anak syarikat milik penuh Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) dikekalkan.
Mahkamah juga menolak tiga rayuan AirAsia terhadap penolakan Mahkamah Tinggi untuk membenarkan permohonan syarikat penerbangan tambang rendah itu bagi membatalkan saman difailkan MASSB terhadap mereka.
Azizah mengarahkan AirAsia membayar kos RM10,000 bagi setiap rayuan, keseluruhan berjumlah RM60,000.
Terdapat enam rayuan difailkan AirAsia dan AirAsia X, iaitu tiga mengenai keputusan Mahkamah Tinggi memberikan penghakiman terus kepada MASSB dan tiga lagi rayuan mengenai penolakan Mahkamah Tinggi terhadap permohonan syarikat itu membatalkan tuntutan mahkamah difailkan terhadap mereka oleh MASSB.
Tuntutan MASSB terhadap AirAsia dan AirAsia X adalah untuk PSC yang tidak dibayar pada kadar ditetapkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) di bawah Peraturan-Peraturan MAVCOM (Caj Perkhidmatan Penerbangan) 2016 yang dipinda pada 2017 dan 2018.
Dalam keputusannya, Azizah berkata, satu-satunya pertikaian dibangkitkan AirAsia ialah kadar baharu PSC yang dinyatakan dalam peraturan itu adalah kadar siling dan bukannya kadar tetap.
Beliau berkata, mahkamah bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa pertikaian sebenar AirAsia bukanlah pertikaian antara dua penyedia perkhidmatan penerbangan, sebaliknya pertikaian antara AirAsia dan MAVCOM kerana MAVCOM yang menetapkan kadar PSC berkenaan.
Azizah berkata, MASSB hanya mengutip PSC, sambil menambah bahawa pertikaian sebenar AirAsia adalah bertentangan dengan keputusan MAVCOM menyamakan kadar PSC antara KLIA dan KLIA2.
“Oleh itu, AirAsia sepatutnya menangani aduan PSC melalui semakan kehakiman terhadap keputusan suruhanjaya itu (MAVCOM) untuk menaikkan kadar berkenaan,” katanya.
Azizah berkata, adalah jelas kadar PSC ketika ditetapkan pada RM67 sambil menambah tiada apa-apa yang menunjukkan kadar itu kadar siling seperti didakwa AirAsia.
MASSB diwakili peguam Ivan Loo, Shannon Rajan, Eric Gabriel Gomez dan Laarnia Rajandran, manakala AirAsia diwakili peguam Steven Thiru. — BERNAMA
© New Straits Times Press (M) Bhd




