'Nak dapat tajaan, perlu bijak jual diri'

'Nak dapat tajaan, perlu bijak jual diri'

bhsukan@bh.com.my

IPOH: Menjadi seorang pelumba motosikal profesional bukan sekadar harus berlumba, malah juga perlu bijak ‘menjual diri’ bagi membolehkan lebih banyak pihak sudi menjadi penaja mereka, kata legenda lumba motosikal negara, Wazi Abdul Hamid.

Menurutnya, penaja menetapkan pulangan pelaburan (ROI) hasil dari penajaan yang bukan sekadar terhad dalam bentuk promosi pengiklanan, malah membabitkan sikap peribadi pelumba.

Tanpa merujuk kepada sesiapa, beliau berkata dalam sesetengah kes pihaknya difahamkan terdapat penaja yang berkecil hati apabila usaha mereka menaja segelintir pelumba seperti dipandang sebelah mata serta kelihatan tidak begitu dihargai.

“Apa yang hendak diharapkan daripada penaja kalau ucap terima kasih pun kita tidak lakukan kepada mereka. Misalnya kepada pihak yang menaja pengangkutan kapal terbang.

“Menjadi pelumba kebangsaan ini, bukan hanya sekadar berlumba namun kamu harus jual diri kamu sendiri, barulah tajaan datang,” katanya ketika ditemui pada Program Myfit @ Motorsports Klass Cub Prix KBS 2022 Peringkat Negeri Perak di Mydin Meru Raya, di sini, hari ini.

Wazi berkata penajaan dalam kuantiti besar sememangnya penting dalam arena sukan permotoran bagi memastikan seseorang pelumba kekal di kedudukan, memandangkan banyak pihak turut terbabit dalam pasukan.

“Untuk ‘maintain’ (kekal), mesti ada pasukan jurutera yang memiliki ‘passion’ (ghairah). Mesti mahir bukan sekadar (menunggang) motosikal sahaja, kerana yang hendak jadikan motosikal itu laju umpamanya adalah pasukan jurutera terbabit.

“Boleh dikatakan untuk kekal, ia memerlukan persediaan penuh oleh keseluruhan pasukan, termasuk pasukan juruteranya dibayar. Mesti mahir bukan kata buat motor sahaja, nak bagi laju (motosikal) itu kadangkala hanya jurutera sahaja yang memahaminya bagaimana,” katanya.

Wazi berkata pelumba yang menempa nama di persada dunia juga perlu menjadi ‘robot’ dan tidak terlalu lembut hati dengan anjakan paradigma ketika berada di perantauan, selain harus mempunyai asas pendidikan terutamanya penguasaan bahasa Inggeris.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top