Saya hampir pengsan: Jin Wei

Saya hampir pengsan: Jin Wei

PERSEORANGAN wanita negara, Goh Jin Wei mengakui dirinya masih belum cukup cergas meskipun berjaya mara ke pusingan kedua Masters Malaysia 2022 selepas menewaskan wakil Amerika Syarikat Beiwen Zhang.

Malah bekas juara remaja dunia dua kali itu turut mendedahkan bahawa dia hampir pengsan pada perlawanan set kedua selepas berhempas pulas pada set pertama.

“Saya masih bergelut untuk mencari formula terbaik bagi mengembalikan prestasi saya seperti sebelum ini. malah pada perlawanan ini juga saya hampir pengsan pada set kedua tadi.

“Bagaimanapun, masalah ini bagi saya cuma biasa sahaja dan akan cuba yang terbaik bagi mengatasi masalah ini kelak,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Pada aksi yang berlangsung dia Axiata Arena Bukit Jalil, pemegang pingat emas Olimpik remaja pada 2018 berjaya lolos ke pusingan kedua selepas menang straight set 21-19, 21-18 ke atas Beiwen dalam aksi yang berlangsung selama 35 minit.

Dalam pada itu, ketika mengulas berkenaan lawannya esok dari Taiwan, Tai Tzu-ying, dia mengakui teruja untuk bertemu bekas pemain nombor satu dunia itu.

Beliau berharap sokongan padu penonton mampu memberi suntikan semangat buat dirinya untuk melangkah lebih jauh dalam kejohanan ini.

“Saya sangat teruja dapat bertemu dengannya kerana ia berdasarkan ranking saya kini bukan senang untuk bertemu pemain yang lebih hebat.


“Jadi saya mengharapkan sokongan padu penonton untuk memberi saya lebih semangat menjelang pertemuan menentangnya esok,”ujarnya.

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Scroll to Top