Tips Berjimat Semasa Krisis Makanan

Krisis makanan menjadi topik perdebatan hangat bukan sahaja di negara kita bahkan secara global. Menurut Puan Selvi Shanmugam, Pengarah Bahagian Harga Barang Negara, KPDNHEP, faktor seperti perubahan iklim, peperangan, dan pertukaran mata wang merupakan sebab masalah ini berlaku. (Sumber, Facebook Rasmi KPDNHEP)

Sebagai langkah penegasan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah menyusun Pelan Dasar Sekuriti Makanan 2021-2025 untuk menjamin keberlanjutan bekalan makanan negara, terutama ketika berhadapan dengan situasi luar jangka. (Sumber, Portal Rasmi MAFI)

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memperkenalkan harga siling bergerak yang berubah kepada faktor harga input, yang akan diambil kerajaan untuk memastikan sekuriti makanan negara terjaga. (Sumber, Facebook Rasmi KPDNHEP)

Kementerian melakukan inspeksi dan pemantauan yang teliti dan menyeluruh terhadap semua premis perniagaan termasuk bandar dan luar bandar. Harga komoditi dipantau secara konsisten oleh Pegawai Pemantau Harga (PPH) di setiap pasaraya besar, pasaraya, pasar basah, pasar mini dan kedai runcit.

Namun begitu, terdapat peniaga yang meletakkan harga tidak munasabah sesuka hati mereka. Contohnya, Sebuah Syarikat pawagam Golden Screen Cinema Sdn. Bhd. (GSC) yang mencatut harga air mineral dan mister potato. Akibatnya, GSC didenda bawah Akta Kawalan Harga dan Anti pencatutan 2011 (AKHAP 2011) kesalahan di bawah Seksyen 14(1) kesalahan mencatut. (Sumber, Facebook Rasmi KPDNHEP)

Oleh demikian, pengguna dinasihatkan agar lebih berhati-hati dalam membeli barang dan segera memberitahu pihak berkuasa sekiranya mendapati barang dijual dengan harga yang melampau.

Amalkan berbelanja mengikut kemampuan diri dan bukan mengikut hawa nafsu semata – sumber foto dreamstime

Konflik bekalan makanan ini telah mengakibatkan kos pengangkutan meningkat, termasuk pengeluaran. Selain itu, isu Ringgit mata wang jatuh turut membebankan rakyat. Justeru itu, masyarakat perlulah berhemat dalam berbelanja.

Berikut merupakan tips-tips yang boleh digunakan masyarakat untuk berjimat ketika berbelanja. Antaranya ialah membuat pelan perbelanjaan. Perbelanjaan akan lebih teratur sekiranya mempunyai pelan yang benar seperti membuat anggaran kos perbelanjaan harian, mingguan dan bulanan, kemudian boleh cuba membandingkan wang yang telah dihabiskan dalam sehari.

Selain itu, membuat senarai barang keperluan dan kehendak. Mengutamakan sesuatu yang wajib seperti barang dapur, bil-bil elektrik dan air serta bayaran bulanan kereta terlebih dahulu agar dapat menyimpan wang untuk kecemasan. Apabila mempunyai wang lebih, barulah boleh membeli barang kehendak.

Seterusnya, merekod setiap perbelanjaan. Setiap perbelanjaan perlulah direkod agar dapat melihat alur kekerapan wang masuk dan keluar. Hal ini dapat membantu kita supaya beringat dan tidak boros ketika berbelanja.

Membuat akaun simpanan kecemasan di bank agar tidak sering berbelanja. Apabila wang berada dalam tangan, nafsu membeli-belah akan membuak dan mengakibatkan kita membeli barang yang tidak penting.

Akhir sekali, melakukan pendapatan sampingan. Berniaga secara dalam talian dapat meningkatkan pendapatan sampingan diri. Pola perbelanjaan hidup mungkin akan menjadi lebih stabil dengan pendapatan sampingan tersebut.

Dalam Surah Al-Furqan ayat 67 Allah berfirman yang bermaksud “Dan mereka yang apabila membelanjakan harta, mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak juga bakhil dan sebaliknya perbelanjaan mereka itu adalah sederhana di antara keduanya”.

Oleh itu, Masyarakat hendaklah sentiasa berjimat dalam berbelanja dan mengurus wang dengan bijak kerana Allah mengeji perbuatan boros dan menyukai sifat berhemah dalam menguruskan perbelanjaan.

 

PENULIS:

SITI NUR HAFIZAH BINTI ABU BAKAR

PELAJAR SARJANA MUDA KOMUNIKASI MEDIA BAHARU

FAKULTI KEPIMPINAN DAN PENGURUSAN

UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA (USIM)

Scroll to Top