Budaya Hedonisma melampau usah disuburkan

Budaya Hedonisma melampau usah disuburkan

FIRMAN Allah S.W.T:

Advertisement

وَمَا هٰذِهِ الْحَيٰوةُ الدُّنْيَآ اِلَّا لَهْوٌ وَّلَعِبٌۗ وَاِنَّ الدَّارَ الْاٰخِرَةَ لَهِيَ الْحَيَوَانُۘ لَوْ كَانُوْا يَعْلَمُوْنَ.

“Dan kehidupan dunia ini hanya senda gurau dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya, sekiranya mereka mengetahui.”

(al-‘Ankabut: 64)

Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah S.W.T kerana dengan rahmat-Nya kita dapat melepasi tempoh pandemik COVID-19. Kini kita berada di penghujung tahun 1443 Hijrah suatu tempoh untuk bermuhasabah dan mengambil iktibar perkara yang telah berlaku di samping membuat persediaan untuk menyambut tahun baharu 1444 Hijrah.

Penghujung tahun 1443 Hijrah yang sepatutnya menjadi penutup yang baik, namun ianya dicemari dengan penganjuran program hiburan yang melalaikan. Hiburan malam minggu kembali tumbuh di mana ianya pasti mengundang gejala maksiat yang lain pula seperti pergaulan bebas yang tidak terkawal (ikhtilat).

Sayugia diingatkan Islam tidak menolak hiburan, namun Islam telah menetapkan peraturan dan batasan dalam berhibur agar ianya tidak melampaui batasan syariat lebih-lebih lagi dalam keadaan negara belum bebas sepenuhnya daripada penularan COVID-19.

PAS Johor menyeru semua pihak termasuk pihak berkuasa tempatan agar lebih sensitif dengan keadaan semasa dan memastikan nilai agama dan nilai ketimuran sentiasa dipelihara dalam apa juga program.

Usahlah kita leka dengan keseronokan dan kehidupan yang bersifat sementara. Bimbinglah anak muda kita ke jalan yang lurus yang selari dengan adat dan budaya Timur yang luhur. Usah dicemari jiwa remaja dengan kemungkaran dan perkara lagha yang merugikan. Ingatlah, setiap tindakan yang dilakukan pasti akan dipersoalkan oleh Allah di akhirat kelak.

“Islam Menyatukan Ummah”

ABU IRFAN MUHAMMAD AL-URDUNI
Ketua Penerangan PAS Negeri Johor – HARAKAHDAILY 25/7/2022

Scroll to Top