Jiran terkejut, sukar percaya

Kota Tinggi: Suspek kes bunuh isteri yang mayatnya ditemukan sebuah tong air ditanam di sebuah ladang serai di Bandar Penawar, kelmarin disifatkan sebagai suami yang penyayang dan menyayangi keluarganya.

Jiran yang mahu dikenali sebagai Ery, berkata dia dan beberapa jiran lain bukan sahaja terkejut malah seolah-olah tidak percaya tragedi menyayat hati itu menimpa keluarga berkenaan.

Katanya, lelaki berusia 43 tahun itu dikenali penduduk sebagai suami dan ayah kepada dua anak lelaki berusia lima dan setahun yang baik, tidak sombong dan sering menghulurkan bantuan jika diminta.

“Kami tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku di dalam rumah mereka. Tidak pernah dengar mereka suami isteri bertengkar.

“Sebagai jiran yang hampir, memang kami selalu bertegur sapa dan berborak di hadapan rumah jika ada kelapangan.

“Dia memang dikenali jiran kerana ringan mulut menyapa jiran tetangga selain gemar membantu mereka yang dalam kesusahan.

“Dia juga dikenali penduduk di sini sangat sayangkan isteri dan kedua anak dan menghadiahkan sebuah Perodua Aruz yang dibeli atas nama isterinya. Malah rumah yang diduduki juga dibeli atas nama isterinya,” katanya ketika ditemui di Taman Sri Saujana di sini, hari ini.

Semalam media melaporkan, misteri kehilangan seorang isteri yang didakwa melarikan diri dari rumah akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemui dalam sebuah tong air yang tertanam di sebuah ladang serai di Bandar Penawar, pagi kelmarin.

Lebih memilukan, suaminya yang juga suspek utama dipercayai menembak isterinya yang berusia 38 tahun itu ketika wanita berkenaan sedang tidur.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kes berkenaan dipercayai bermotifkan cemburu selain polis turut menemui surat tuntutan fasakh di kediaman berkenaan.

Mengulas lanjut, Ery berkata, dia mengenali jirannya itu sejak tinggal di situ lima tahun lalu dan sedih apabila lelaki itu dikecam hebat masyarakat dan netizen di media sosial susulan insiden itu.

“Rasa sedih juga kerana ia menimpa dia apatah lagi ayah dan ibunya yang menetap Segamat sudah uzur dan dihormati masyarakat di sana.

Ery berkata, pada Isnin lalu dia mendapati jirannya itu berkelakuan sedikit pelik apabila menghantar dua anaknya ke rumah pengasuh yang terletak berhampiran kira-kira jam 5.30 pagi berbanding kebiasaan dia menghantar anaknya pada jam 8 pagi setiap hari.

“Saya dan jiran lain juga tidak dengar apa-apa yang pelik ketika hari kejadian sama ada pertengkaran apa lagi kekecohan.

“Namun selepas berita dia ditahan polis disiarkan media massa semalam, kami jiran dan penduduk di sini amat terkejut kerana tragedi pilu itu menimpa keluarga yang kami kenal,” katanya.

Berita berkaitan

Polis siasat motif suami penyayang bertukar kejam tembak isteri

Tembak isteri, sumbat dalam tong [METROTV]

Kesan lebam pada mayat wanita ditembak suami

Scroll to Top