UPSI cipta sejarah, universiti awam pertama laksana Program Rintis PLKN 3.0

UPSI cipta sejarah, universiti awam pertama laksana Program Rintis PLKN 3.0

Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencipta sejarah apabila dipilih sebagai universiti awam pertama melaksanakan Program Rintis Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0, sekali gus menjadi penanda aras kepada pelaksanaan program tersebut di 19 universiti awam lain di seluruh negara bermula tahun 2027.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata pelaksanaan PLKN 3.0 di universiti awam adalah satu transformasi besar dalam dasar pembangunan belia negara yang mengangkat pendekatan lebih sistematik, berjangka panjang dan bersepadu dengan struktur pendidikan tinggi.

“Pelaksanaan PLKN 3.0 di universiti awam bukan sekadar kesinambungan latihan di kem, sebaliknya peralihan kepada model berasaskan institusi pendidikan tinggi yang lebih tersusun dan relevan dengan keperluan semasa.

“Program rintis di UPSI ini menjadi platform penting untuk menguji kesesuaian modul latihan, penyesuaian dengan struktur akademik sedia ada serta menilai keberkesanannya sebelum diperluaskan ke seluruh universiti awam mulai tahun hadapan,” katanya ketika merasmikan Majlis Peluncuran Program Rintis PLKN 3.0 Universiti Awam di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah, hari ini.

Beliau berkata program yang bermula di UPSI pada 9 Jun lalu dengan sokongan peruntukan kerajaan itu adalah langkah strategik dalam usaha melahirkan generasi muda yang memiliki jati diri yang teguh, semangat patriotisme yang tinggi serta kualiti kepimpinan yang unggul.

Menurutnya, kerajaan MADANI komited membentuk generasi yang bukan sahaja mempunyai ketahanan fizikal, malah kekuatan mental, kecerdasan emosi dan daya tahan tinggi dalam menghadapi cabaran dunia yang semakin kompleks.

“Peserta perlu terus mengekalkan semangat kesukarelawanan dan keprihatinan terhadap masyarakat, memanfaatkan ilmu, teknologi dan kreativiti untuk membina masa depan yang lebih baik serta menjadi ejen perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan latar belakang,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata pemilihan universiti tersebut sebagai institusi perintis adalah satu penghormatan besar serta manifestasi kepercayaan kerajaan terhadap keupayaan UPSI dalam menerajui agenda pembangunan modal insan negara.

“UPSI menerima amanah ini dengan penuh tanggungjawab dan komited memastikan pelaksanaannya berjalan lancar serta berkesan. Keberkesanan program di bumi Muallim ini akan menjadi penanda aras penting sebelum diperluaskan ke 19 universiti awam lain bermula tahun 2027,” katanya.

Beliau berkata seramai 1,005 pelajar baharu diploma ambilan Jun 2026 yang terdiri daripada 567 pelatih lelaki dan 438 pelatih perempuan dipilih menyertai program rintis berkenaan.

Menurut beliau, pelatih akan mengikuti tiga modul utama iaitu Modul Ketenteraan sebanyak 40 peratus, Modul Kepimpinan (30 peratus) dan Modul Kenegaraan (30 peratus) yang dilaksanakan secara bersepadu sepanjang minggu orientasi, semester pertama pengajian menerusi kursus Mata Pelajaran Umum (MPU) serta semasa cuti semester.

“Bagi menyokong pelaksanaan program secara menyeluruh, UPSI juga sedang menaik taraf UPSI Adventure Park dan Glamping Park dengan pelbagai kemudahan baharu termasuk dewan serbaguna tertutup, bilik seminar, infrastruktur rekreasi luar dan tapak perkhemahan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top