365 daripada 376 dokumen pelesenan PDRM FC sudah dilengkapkan

365 daripada 376 dokumen pelesenan PDRM FC sudah dilengkapkan

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: PDRM FC kekal tenang berdepan proses pelesenan kelab apabila pengurusan pasukan yakin segala dokumen dan keperluan ditetapkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dapat diselesaikan sepenuhnya sebelum saingan Liga Malaysia (Liga M) 2026/27 membuka tirai pada Ogos depan.

Pengurus pasukan, Shamshul Hisham Abd Razak berkata, sebahagian besar dokumen pelesenan sudah dilengkapkan dan hanya beberapa perkara berkaitan infrastruktur stadium masih dalam proses tindakan.

Menurutnya, daripada keseluruhan 376 dokumen yang perlu dipenuhi bagi tujuan pelesenan kelab, PDRM FC sudah berjaya melengkapkan sebanyak 365 dokumen.

“Dalam proses pelesenan ini terdapat 376 dokumen yang perlu dipenuhi dan setakat ini, kami sudah melengkapkan 365 daripadanya.

“Baki yang masih belum diselesaikan lebih tertumpu kepada perkara berkaitan infrastruktur stadium dan bukannya isu pentadbiran atau kewangan pasukan,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu membabitkan kemudahan di stadium yang digunakan oleh skuad The Cops, memandangkan venue berkenaan berada di bawah pengurusan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Katanya, pihak pengurusan sudah mengadakan perbincangan dengan MPS bagi mendapatkan penyelesaian terhadap beberapa kekurangan yang dikenal pasti.

“Saya sudah mengadakan mesyuarat bersama pihak MPS dan kami mendapat kata putus berhubung beberapa penambahbaikan yang perlu dilakukan.

“Apa sahaja kemudahan yang perlu ditambah baik atau kekurangan perlu dilengkapkan, semuanya sudah dikenal pasti dan akan dilaksanakan,” katanya.

Shamshul turut memberi jaminan isu berkenaan tidak akan menjejaskan persiapan pasukan menjelang musim baharu, malah beliau optimis semua keperluan dapat dipenuhi dalam tempoh ditetapkan.

“Saya rasa perkara ini tidak akan menjadi masalah. Pihak MFL sudah dimaklumkan mengenai perkembangan semasa dan mereka mengetahui situasi sedang diusahakan.

“Kami yakin semua dokumen diperlukan dapat dilengkapkan dan tidak melihat sebarang isu besar boleh menjejaskan status pelesenan kelab,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top