PONTIAN: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi sentiasa berusaha membantu golongan pekebun kecil yang terjejas pendapatan seperti pekebun getah berikutan cuaca kering ketika ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Wee Jeck Seng berkata, golongan itu adalah antara penyumbang utama kepada komoditi utama negara termasuk pekebun kelapa sawit, koko dan lain-lain tanaman.
Katanya, memandangkan sektor itu melibatkan pekebun kecil yang ramai di seluruh negara, langkah membantu mereka sangat bertepatan bagi meringankan bebanan berikutan hanya bergantung kepada sumber berkenaan.
“Kita akan mengenal pasti bilangan mereka yang terjejas melalui Pihak Berkuasa Pekebun Kecil Getah (Risda) yang merupakan agensi bertanggungjawab kepada pekebun getah.
“Sekiranya pendapatan mereka (pekebun) terjejas, sudah tentu ia turut memberikan kesan kepada ahli keluarga mereka yang lain terutama yang memiliki anak-anak yang baru memasuki sesi persekolahan semula,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjung Piai berkata demikian selepas menghadiri Program Suntikan Vaksin Covid-19 di Klinik Kesihatan Pontian, di sini, hari ini.
Seramai 150 individu menerima suntikan vaksin di bawah fasa satu untuk daerah Pontian yang turut melibatkan pegawai dan anggota daripada Pejabat Kesihatan Daerah dan Klinik Pergigiaan Daerah Pontian.
Sementara itu, ujar Jeck Seng, antara langkah lain yang boleh diambil untuk membantu pekebun adalah pemberian subsidi agar harga komoditi tersebut tidak kurang daripada harga lantai iaitu RM2.50 sekilogram.
“Kita berharap cuaca kering ketika ini tidak akan berpanjangan kerana ia boleh memberi kesan kepada pengeluaran susu getah sekaligus mengurangkan pengeluaran komoditi tersebut kelak,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE