Beijing: Selepas 19 tahun diselamatkan di hospital yang sama, seorang pemuda kini kembali ke tempat itu bukan sebagai pesakit sebaliknya untuk memulakan langkah sebagai doktor pelatih, lapor South China Morning Post.
Huang Hongxin, 23, kini mengikuti pengajian pascasiswazah dalam bidang pembedahan saraf di Hospital Xiangya di Changsha yang bernaung di bawah Universiti Central South.
Menariknya, latihan residensi klinikal pertamanya ditempatkan di Jabatan Pembedahan Jantung dan Vaskular di bawah bimbingan Profesor Long Long.
Profesor berkenaan ialah doktor yang melakukan pembedahan menyelamatkan nyawa Huang ketika dia masih kanak-kanak akibat penyakit jantung kongenital kira-kira 19 tahun lalu.
Ketika itu, Huang mengalami penyempitan arteri pulmonari dan paten foramen ovale (PFO) yang sukar dirawat di hospital lain menyebabkan keluarganya dari Jiangxi melakukan perjalanan ke Hunan untuk mendapatkan rawatan.
Di Hospital Xiangya, pasukan perubatan diketuai Profesor Long dan Profesor Hu Qinghua berjaya menjalankan pembedahan berkenaan sekali gus membolehkan Huang membesar dengan sihat seperti kanak-kanak lain.
“Saya berasa doktor menyelamatkan nyawa saya dan memberikan kehidupan baharu,” katanya sambil pengalaman itu menyemai minatnya untuk menceburi bidang perubatan.
Pada 2024, nenek Huang pula menerima rawatan di Jabatan Pembedahan Saraf hospital sama selepas mengalami aneurisme serebrum iaitu penggelembungan salur darah di otak dan dirawat pasukan Profesor Huang Jun.
Pengalaman itu mengukuhkan tekad Huang untuk berkhidmat di Hospital Xiangya.
Dia kemudian berusaha bersungguh-sungguh menghadapi ujian kemasukan pascasiswazah sebelum diterima masuk baru-baru ini.
Kini, Huang bukan sahaja belajar di bawah bimbingan Profesor Huang Jun yang pernah menyelamatkan nyawa neneknya malah dipertemukan semula dengan Profesor Long ketika menjalani latihan klinikal.
Huang turut merakam foto bersama doktor yang pernah menyelamatkan nyawanya itu dengan kedua-duanya menyarung jubah pembedahan. Foto berkenaan dan kisah mereka kemudian menyentuh hati ramai pengguna media sosial.
“Cara terbaik untuk membalas jasa adalah dengan menjadi seperti anda,” kata seorang pengguna media sosial selain ada yang menggambarkannya sebagai kesinambungan minat yang diwarisi dari satu generasi ke generasi berikutnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd


