Nak naik taraf food truck jadi lebih menarik dan kompetitif? Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) tampil dengan peruntukan RM2 juta untuk membantu 40 usahawan berpotensi mengubah suai serta menaik taraf Karavan Tani (food truck) di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Usahawan terpilih akan terima bantuan
Menerusi inisiatif ini, setiap usahawan terpilih akan menerima bantuan bernilai RM50,000 bagi tujuan pengubahsuaian dan naik taraf food truck masing-masing.
Difahamkan, inisiatif tersebut merupakan antara usaha FAMA untuk memperkukuh keupayaan usahawan, meningkatkan imej perniagaan serta mempertingkat daya saing sektor perniagaan makanan bergerak.
Foto: FAMA Malaysia
Perkara itu diketengahkan menerusi Sesi Walkabout YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan ke Food Truck Innovation Showcase, Segmen Food Truck Fiesta @ MAHA 2026 yang berlangsung hari ini di Laman Tiba 2, MAEPS, Serdang.
Turut hadir ialah Pengerusi FAMA, YBrs. Tuan Haji Abang Ahmad Kerdee bin Abang Masagus dan Ketua Pengarah FAMA, YBrs. Encik Faisal Iswardi bin Ismail.
Platform untuk beri pendedahan kepada usahawan
Tak hanya itu, Food Truck Innovation Showcase turut menjadi platform untuk memberi pendedahan kepada usahawan dan bakal usahawan mengenai konsep perniagaan, pakej pemilikan, kemudahan pembiayaan serta potensi perniagaan makanan bergerak.
Dalam masa sama, FAMA turut menjalinkan kerjasama strategik bersama MAR Food Truck yang menawarkan kemudahan pembiayaan bagi pembelian food truck, termasuk diskaun sebanyak 10 peratus bagi semua model.
Foto: FAMA Malaysia
Penganjuran ini juga menyokong usaha FAMA dalam mengetengahkan inovasi dan teknologi terkini, memperkenalkan pakej pembelian serta peluang pembiayaan, menggalakkan transformasi imej dan operasi perniagaan makanan bergerak, selain memperkukuh kerjasama strategik bersama pemain industri.
Sempena lawatan tersebut, YB Menteri turut menyempurnakan sesi penyampaian geran, selain meluangkan masa mengunjungi gerai-gerai usahawan serta mengadakan edaran kupon kepada pengunjung.

