Soon Huat-Shevon mara ke suku akhir Kejohanan Dunia

Soon Huat-Shevon mara ke suku akhir Kejohanan Dunia

PETALING JAYA: Beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai menjadi wakil pertama Malaysia melangkah ke suku akhir Kejohanan Badminton Dunia selepas menumbangkan lawan dari Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue di Gimnasium Metropolitan Tokyo sebentar tadi.

Di atas kertas, pasangan Perancis itu mempunyai kelebihan dari sudut rekod perlawanan apabila pernah menang dua kali ke atas Shevon-Soon Huat, selain diletakkan sebagai pilihan ketujuh kejohanan.

Begitupun Soon Huat-Shevon yang hadir sebagai pilihan ke-11 membuktikan mereka lebih bernafsu untuk ke suku akhir apabila melakar kemenangan 21-16, 21-4 dalam tempoh 38 minit.

Mereka kini perlu menanti pemenang di antara pasangan tuan rumah, Yuta Watanabe-Arisa Higashino menentang pasangan Belanda, Robin Tabeling -Selena Piek untuk mengetahui lawan mereka di suku akhir esok.

LANGKAH Vivian Hoo (belakang) dan Lim Chiew Sien tersekat di pusingan ketiga.

Satu lagi wakil negara dalam acara beregu wanita, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien gagal untuk mara ke suku akhir selepas dijinakkan pilihan ketiga kejohanan, Lee Soo Hee-Shin Seung Chan 21-13, 21-16.

Kejutan paling besar dalam Kejohanan Dunia kali ini adalah tersingkirnya pilihan pertama beregu lelaki, iaitu Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo dari Indonesia kepada pasangan England, Ben Lane-Sean Vendy dengan keputusan 15-21, 9-21.

Malaysia masih mempunyai lima wakil yang akan turun beraksi sebentar nanti. – UTUSAN ONLINE

Scroll to Top