Philadelphia: Kapten Perancis, Kylian Mbappe bakal mencatat satu lagi detik bersejarah apabila membuat penampilan ke-100 antarabangsa ketika menentang Iraq dalam aksi Kumpulan I Piala Dunia 2026, awal pagi esok.
Bintang berusia 27 tahun itu menyifatkan pencapaian berkenaan sebagai sesuatu yang istimewa, lebih-lebih lagi kerana ia hadir di pentas Piala Dunia.
“Ia sentiasa menjadi satu kegembiraan untuk bermain untuk negara anda. Tiada yang lebih besar daripada itu.
“Seratus penampilan adalah satu angka bersejarah dan untuk mencapainya di Piala Dunia menjadikannya lebih istimewa,” katanya.
Mbappe yang sudah menjaringkan 14 gol dalam 15 penampilan Piala Dunia turut mengesahkan dirinya sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Perancis selepas meledak dua gol ketika menewaskan Senegal 3-1, sekali gus memintas rekod lama Olivier Giroud.
Beliau kini hanya dua gol di belakang rekod keseluruhan Piala Dunia yang dipegang Miroslav Klose, selain turut dikongsi Lionel Messi.
“Yang paling penting adalah membantu pasukan mara sejauh mungkin,” katanya.
Mbappe turut mengakui menikmati pengalaman beraksi di Amerika Syarikat dan tidak menolak kemungkinan beraksi dalam Major League Soccer (MLS) pada penghujung kariernya.
“Saya suka budaya di sini. Orangnya berani dan bercita-cita tinggi.
“Adakah saya akan bermain di sini suatu hari nanti?. Kita tunggu dan lihat,” katanya.
Namun, beliau berseloroh bahawa dirinya tidak akan terus beraksi sehingga usia 40 tahun seperti Cristiano Ronaldo.
“Saya tidak akan bermain pada usia 40 tahun. Anda akan ‘singkirkan’ saya lebih awal,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




