Kerjasama akademik angkat martabat kesarjanaan Islam

Kerjasama akademik angkat martabat kesarjanaan Islam

suliati@hmetro.com.my

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus memperkukuh jaringan akademik global menerusi pemeteraian dan pembaharuan memorandum persefahaman (MoU) dengan dua institusi penyelidikan terkemuka Uzbekistan bagi memperkasa agenda pengantarabangsaan dan penyelidikan.

Kerjasama berkenaan membabitkan penyambungan hubungan strategik dengan ‘Islamic Civilization Center in Uzbekistan’ (ICCU) serta jalinan kolaborasi baharu bersama ‘Imam Maturidi International Scientific Research Center’ untuk tempoh lima tahun.

Dokumen kerjasama itu ditandatangani Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Sufian Jusoh dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Prof Datuk Dr Fariza Md Sham bersama Pengarah ICCU, Dr Firdavs Abdukhalikov serta Pengarah Imam Maturidi International Scientific Research Center, Prof Dr Komiljon Shermuhamedov.

Dr Sufian berkata, kerjasama itu memberi tumpuan kepada program mobiliti penuntut, pertukaran akademik, penyelidikan bersama dan sangkutan penyelidikan.

“Kerjasama akademik ini bukan sahaja mengangkat martabat kesarjanaan Islam di persada global, malah membuka ruang luas buat warga UKM dan institusi di Uzbekistan untuk meneroka inovasi dalam penyelidikan rentas disiplin yang relevan dengan cabaran kontemporari.

“Bagi merealisasikan hasrat itu, fokus kerjasama ini akan ditumpukan kepada program mobiliti penuntut pertukaran akademik.

“Langkah ini bakal membuka ruang serta peluang lebih luas bagi program pertukaran penuntut antarabangsa antara kedua-dua negara demi perkongsian ilmu, pengalaman dan pemahaman budaya yang lebih mendalam,” katanya.

Sempena lawatan itu, delegasi UKM turut mengunjungi galeri ICCU bagi meninjau koleksi manuskrip dan khazanah sejarah tamadun Islam dari Asia Tengah.

Lawatan berkenaan turut memberi pendedahan kepada UKM mengenai penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) diaplikasikan secara praktikal bagi memelihara, menganalisis dan memartabatkan warisan sejarah warisan dunia dalam konteks zaman moden.

Ketika lawatan itu juga, UKM turut mengadakan perjumpaan bersama Ketua Jabatan Institusi Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi Sains dan Inovasi Uzbekistan, Dr Mamanazarov Abdusamat Abdusaitovich.

Ia bertujuan untuk meneroka peluang kolaborasi strategik dalam bidang akademik, penyelidikan dan pemerkasaan budaya antara UKM dengan institusi pengajian tinggi serta penyelidikan di Uzbekistan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top