PETALING JAYA: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan tiada satu pun parti yang ditubuhkan Tun Dr. Mahathir Mohamad selama ini berjaya kerana orang Melayu masih memilih UMNO.
Katanya, tindakan bekas Perdana Menteri itu melabelkan UMNO dengan pelbagai gelaran dan penghinaan hanya untuk menutup kegagalan dalam mewujudkan alternatif kepada UMNO.
Beliau memberi contoh bagaimana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pejuang tidak mampu menyaingi pengaruh UMNO di negara ini.
“Selepas tersingkir sebagai Perdana Menteri dan dibelakangkan oleh parti yang diasaskannya sendiri, Tun Mahathir menubuhkan pula Pejuang. Seperti biasa, mantera yang beliau ratibkan, Pejuang adalah lebih baik, lebih bersih dan lebih berkemampuan berbanding UMNO dan Bersatu.
“Namun, parti yang diasaskannya itu tersungkur teruk sekali lagi. Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sahaja, Pejuang menjadi parti yang bukan sahaja kalah dalam semua kerusi yang dipertandingkan. Tetapi menjadi parti yang kehilangan semua deposit. Sekali lagi, Tun Mahathir malu besar.
“Kemudian, menyedari Pejuang tidak mempunyai masa depan sendiri dan ditolak secara besar-besaran, maka Tun Mahathir gagaskan pula Gerakan Tanah Air (GTA). Tun bergerak ke segenap tanah air mengutip mereka yang sebelum ini tidak pun beliau pandang dengan sebelah mata.
“Barangkali, setelah menyedari bahawa strategi tersebut juga belum menampakkan sebarang petunjuk yang memberangsangkan, maka Tun kembali kepada strategi asalnya iaitu menghentam dan menghina UMNO,” katanya dalam kenyataan.
Disebabkan itu, Mohamed Khaled menganggap Dr. Mahathir sedar bahawa Pejuang gagal menarik sokongan orang Melayu.
“Realitinya, orang Melayu masih memilih UMNO. Parti ini mempunyai tarikan tersendiri kepada orang Melayu. Ia bukan tentang personaliti atau ketokohan tertentu. Malah, orang UMNO sendiri sebenarnya lebih kritikal dan lantang terhadap parti ini berbanding mereka di luar, termasuklah berbanding Tun.
“Tarikan yang UMNO tawarkan adalah jelas, iaitu nasionalisme Melayu dan modernisme Malaysia. Sesuatu yang mengikat orang Melayu dengan identiti dan kelangsungan mereka dari dahulu, kini dan selamanya,” katanya.
Namun, beliau mengakui partinya masih mempunyai banyak kelemahan yang perlu diperbaiki.
“Kami tidak akan menafikan hakikat atau bersikap apologetik. Ada yang sohor, ada yang khilaf. Namun masa beredar, zaman berubah dan pemimpin juga begitu tetapi UMNO tetap lestari kerana orang Melayu menghargai bahawa adalah tidak adil disebabkan beberapa orang pemimpin parti terpalit kontroversi, maka segala-galanya tentang UMNO itu korup dan keji.
“UMNO telah ‘moved on’. Dari masa silam, dari Tun dan dari kegagalan kami sebelum ini. Kami sedang mengorak langkah menjadi ketumbukan yang bersedia meneroka potensi untuk kembali menjadi kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Sekiranya Tun memilih untuk terus mengambil tahu dan kisah tentang UMNO, kami tidak boleh menghalang ingatan dan sentimentalisme UMNO yang masih menebal dalam hati Tun,” katanya. – UTUSAN




