KUALA TERENGGANU: Dua gol dalam setiap babak memastikan kemenangan bergaya naib juara musim lalu, Terengganu FC II ke atas pendatang baharu, Projek FAM-MSN di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini sebentar tadi.
Keputusan itu turut memastikan tuan rumah menepati ramalan memulakan Liga Perdana dengan langkah kanan menakala skuad kendalian Yusri Che Lah pula akur gagal menyaingi lawan lebih berpengalaman.
Ketika permainan baru berusia tujuh minit, Terengganu FC II dihidangkan peluang menerusi tandukan Nur Azfar Fikri Azhar hasil umpanan Marcel N’Guessan yang tersasar ke sebelah tepi
Kubu Projek FAM-MSN terus diuji tuan rumah menyaksikan penjaga gol, Al-Iman Wahiey Amir berjaya menepis usaha penyerang tuan rumah, Jordan Mintah pada minit ke-13.
Terengganu FC II berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke-19 hasil sepakan percuma pemain pertahanan, Hairiey Hakim Mamat yang melencong masuk ke dalam gol pelawat.
Skuad Projek FAM-MSN kemudian cuba mengimbangi permainan dengan gerakan Azhad Harraz Arman dari sebelah kiri, malangnya gagal melepasi pertahanan lawan, sebaliknya pintu gol pelawat bolos tiga minit sebelum rehat menerusi sepakan leret Nur Azfar yang membawa Terengganu FC II di kedudukan 2-0 ke bilik persalinan.
Kurang seminit bersambung babak kedua, tuan rumah melebarkan kelebihan hasil tolakan mudah Mohd. Ridzuan Razali yang menerima hantaran Hairiey Hakim dari sebelah kiri.
Percaturan Yusri memasukkan penyerang gantian, Muhammad Hazwan Hassan gagal mengubah nasib pasukannya apabila pertahanan Terengganu FC II diketuai Masaki Watanabe terus kebal.
Penyerang tuan rumah, Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali melengkapkan kemenangan 4-0 hasil sepakan penalti selepas beliau dijatuhkan dalam masa kecederaan.


