Mayat lelaki botak ditemukan dalam parit

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Sungai Buloh: Mayat lelaki yang belum dikenal pasti identitinya dipercayai mangsa bunuh ditemukan di dalam parit di Jalan Industri 7, Kampung Baru Sungai Buloh di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, penemuan mayat berkenaan dimaklumkan oleh orang awam sebelum anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengeluarkan mayat itu.

Katanya, mayat kemudian dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan pada si mati dan identitinya juga masih belum dikenal pasti.

“Si mati adalah lelaki berkulit cerah, botak, berketinggian kira-kira 170 sentimeter (sm) dengan berat 50 kilogram (kg),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil bedah siasat mendapati terdapat unsur jenayah pada badan si mati dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, siasatan lanjut kini dijalankan bagi mengenal pasti identiti si mati serta mengesan suspek terbabit.

Sementara itu, beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu atau mempunyai ahli keluarga yang dilaporkan hilang dan mempunyai ciri-ciri menyerupai si mati diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan Mohd Reezal Mohammad @ Mohd Zain di talian 013-3479809.

“Selain itu, maklumat juga boleh disalurkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh di talian 03-61561222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Dalam pada itu, masyarakat dinasihatkan tidak menularkan sebarang imej, video atau maklumat tidak sahih di mana-mana platform media sosial, serta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top