Jerebu Sarawak semakin buruk, 5 kawasan catat IPU tahap berbahaya

Kuching: Keadaan jerebu di Sarawak semakin memburuk apabila lima kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap berbahaya, dengan Serian mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 415.

Berdasarkan maklumat Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS) setakat 6 pagi ini, Kuching merekodkan bacaan IPU 405, diikuti Samarahan (369), Sri Aman (355) dan Sarikei (328).

Ia sekali gus menunjukkan kualiti udara di kawasan terbabit berada pada tahap membimbangkan.

Selain itu, empat lagi kawasan di Sarawak mencatatkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat iaitu Sibu dengan bacaan 298, Mukah (228), Samalaju (218) dan Bintulu (221).

Bacaan berkenaan menunjukkan sebahagian besar kawasan di Sarawak kini berdepan kualiti udara yang semakin merosot, terutama di kawasan yang merekodkan IPU melebihi 200, yang boleh memberi kesan kepada kesihatan penduduk.

Sementara itu, sebanyak empat kawasan lagi merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat, dengan ILP Miri mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 184, diikuti Miri (178), Kapit (176) dan Limbang (166).

Jerebu teruk yang menyelubungi ruang udara Sarawak kini dikenal pasti berpunca daripada peningkatan aktiviti pembakaran terbuka serta kebakaran hutan di wilayah negara jiran,selain keadaan cuaca panas dan kering yang menyebabkan asap lebih mudah terkumpul.

Keadaan jerebu yang semakin buruk itu dikhuatiri meningkatkan risiko masalah kesihatan, khususnya kepada golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta individu yang mempunyai masalah pernafasan dan penyakit berkaitan paru-paru.

Semalam, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian mendedahkan purata kes jangkitan Saluran Pernafasan Akut (URTI) di Sarawak meningkat daripada kira-kira 1,717 kes seminggu pada awal tahun kepada 1,752 kes seminggu dalam beberapa minggu kebelakangan ini susulan kemerosotan kualiti udara sejak awal Ogos lalu.

Beliau berkata, peningkatan turut direkodkan bagi kes konjunktivitis dengan purata kira-kira 21 kes seminggu berbanding 17 kes sebelum ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top