Warga Pengerang maju bersama pembangunan PIC

Warga Pengerang maju bersama pembangunan PIC

Kota Tinggi : Pembinaan Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) terus memberikan manfaat berterusan kepada penduduk setempat menerusi pembinaan projek hiliran Petronas terbesar yang dibangunkan pada 2014 dan mula beroperasi sejak suku pertama 2019.

Petronas selaku pelabur terbesar dalam PIC mengambil inisiatif membangunkan komuniti penduduk di Pengerang menerusi penubuhan beberapa koperasi termasuk Koperasi Pengerang Jaya Johor Berhad (Kopeja).

Ia sekali gus, bagi memastikan penduduk Pengerang dapat bersama-sama membangun dan maju menerusi pembangunan  PIC. 

Pengerusi Kopeja, Zebree Hashim, berkata Kopeja adalah sebuah koperasi yang ditubuhkan dan dianggotai oleh penduduk Taman Bayu Damai.

Katanya, ketika PIC masih di dalam fasa projek, Kopeja sudah bermula sebagai koperasi yang menjalankan perniagaan diesel.

Kini memandangkan PIC telah memasuki fasa operasi, Kopeja juga berkembang meluaskan perniagaannya kepada kerja-kerja mekanikal industri yang membabitkan minyak, gas, petrokimia, loji janakuasa dan kejuruteraan berat serta fabrikasi logam.

“Bagi memastikan kelangsungan perniagaan kami, Kopeja mula meneroka usaha perniagaan yang lain melalui Kopeja Oil&Gas Sdn Bhd (KOG). Ia berikutan, kami melihat banyak peluang projek teknikal dan operasi yang wujud di samping menjalankan perniagaan diesel sedia ada.

“PIC amat menyokong kemajuan KOG dari awal dengan memberikan sokongan yang meluas melalui perolehan dan perundingan melalui  Petronas Refinery and Petrochemical Corporation Sdn Bhd (PRPC).

“Malah, PIC juga memberikan panduan untuk meneroka sektor industri minyak dan gas untuk lebih menonjol serta berdaya saing dengan syarikat lain di dalam industri sama. 

“Matlamat Kopeja adalah untuk memacu KOG ke tahap lebih tinggi dan menerima pelbagai pengiktirafan sebagai syarikat terkemuka dalam program VDPx (Vendor Development Program – Extension) yang dikendalikan Petronas, selain mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai satu daripada kontraktor pilihan dalam industri minyak dan gas negara.

“Kami juga berharap untuk menjadi syarikat terkemuka di Johor sebagai kontraktor utama yang sentiasa maju untuk PIC, selain membangun bersama-sama dengan kejayaan PIC pada masa akan datang,”katanya.

Model perniagaan baharu

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kopeja Oil & Gas Sdn Bhd, Mohd Hafizan Ishak, berkata pembabitan Kopeja dalam bidang teknikal dan mekanikal sektor minyak dan gas adalah satu model perniagaan baharu bagi koperasi itu selepas bermula sebagai pembekal diesel dan melakukan kerja penyelengaraan di PIC

“Apabila bekerjasama dengan organisasi besar seperti Petronas dan PIC yang mempunyai etika korporat terbaik, secara tidak langsung ia mendedahkan kami anak tempatan serta anggota Kopeja terhadap amalan kerja lebih profesional dan berlaras tinggi. Ia sekali gus memajukan anak tempatan di Pengerang untuk lebih membangun dan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran.

Warga Pengerang maju bersama pembangunan PICKamal Bahrin komited untuk terus meningkatkan sosioekonomi dan kesejahteraan Arash Zarkashie Muliade Nashran Ishak masyarakat setempat di Pengerang. – FOTO PIC

“Pada masa ini, kami sedang melatih 320 anak Pengerang yang sebahagian besar adalah generasi muda untuk bekerja dengan KOG yang akan bekerja dengan kontraktor-kontraktor utama di PIC.

“Langkah ini bukan hanya dapat meningkatkan pendapatan penduduk tempatan malah akan memajukan ekonomi Pengerang selain berlaku pemindahan kemahiran laras tinggi kepada anak tempatan dalam jangka panjang.

“Menerusi Program Skills In Oil and Gas (SOGA) hasil kerjasama strategik PIC dengan Johor Petroleum Development Corporation (JPDC), anak tempatan Pengerang dihantar ke Akademi Binaan Malaysia bagi dilatih dalam bidang mekanikal sektor minyak dan gas.

“Hasilnya, bukan sahaja anak Pengerang menikmati manfaat berterusan PIC, malah pemindahan penduduk dari tujuh kampung bagi memberi laluan pembangunan PIC tidak sia-sia apabila kehidupan kami berjaya ditingkatkan.

“Kami juga berbangga apabila Kopeja kini tersenarai sebagai lima koperasi terbaik di Johor selain menduduki tempat ke-44 terbaik daripada 15,000 koperasi di negara ini.

“Kejayaan Kopeja membangunkan anak tempatan juga membanggakan 500 ahli yang terdiri daripada penduduk kampung yang dipindahkan berikutan koperasi ini menjadi satu-satunya syarikat koperasi tempatan yang terbabit dalam sektor minyak dan gas negara,”katanya

Tingkat sosioekonomi

Sementara itu, Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Eksekutif PRPC,  Kamal Bahrin Ahmad, berkata selaras dengan visi syarikat, PIC komited untuk terus meningkatkan sosioekonomi dan kesejahteraan masyarakat setempat di Pengerang. 

“Ia sebagai sebahagian daripada pendekatan holistik kami terhadap kemampanan yang mengimbangi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). 

“Ikrar ini dicerminkan dengan pembangunan besar Kopeja,  yang menjadi salah satu daripada enam koperasi tempatan yang kami sokong dalam mengembangkan usaha perniagaannya dan pada masa sama, giat membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. 

“Malah, usaha kami dalam membantu meningkatkan kemahiran masyarakat setempat telah menyediakan peluang pendidikan dan pekerjaan yang secara tidak langsung meningkatkan taraf hidup golongan belia dan penduduk setempat dalam komuniti di Pengerang,” katanya.

Kopeja asah kemahiran anak tempatan bidang minyak, gas

Nur Amirah adalah satu-satunya kakitangan wanita dari KOPEJA yang bertugas di tapak projek PIC. – FOTO Kopeja

Kota Tinggi: Koperasi Pengerang Jaya Johor Berhad (Kopeja) yang kini terbabit aktif sebagai antara pemain utama sektor minyak dan gas di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), adalah satu daripada kisah kejayaan anak tempatan hasil garapan Petronas. 

Kebimbangan penduduk dan anak tempatan Pengerang yang pada mulanya risau mereka akan terpinggir berikutan pembangunan PIC ternyata meleset dengan mereka kini menjadi antara nadi utama tenaga kerja di PIC, projek pelaburan hiliran terbesar Petronas yang dibangunkan di negara ini.

Malah, tenaga mahir terdiri daripada anak Pengerang sudah mula merebut peluang menguasai kerja dalam sektor minyak dan gas di situ, terutama dalam pemasangan mesin mekanikal berteknologi tinggi. 

Anak tempatan Pengerang, Nor Faezal Nordin, 42, yang kini bertugas sebagai Penyelia bersama Kopeja berkata, beliau antara individu terawal yang mengikuti program SOGA dianjurkan koperasi berkenaan bagi meningkatkan kemahiran anak tempatan untuk bekerja di dengan kontraktor-kontraktor utama PIC.

Beliau yang berasal dari Kampung Bukit Buloh,  berkata, hampir 90 peratus generasi muda dari kampungnya itu kini bekerja di PIC sekali gus merasai nikmat pembangunan yang dibawakan PETRONAS.

“Sebelum ini, saya hanyalah seorang juruelektrik yang terpaksa berhijrah ke Pasir Gudang bagi mencari rezeki untuk keluarga. Sebelum pembangunan PIC di Pengerang, penduduk tempatan adalah daripada golongan nelayan, manakala generasi muda yang tidak berminat terpaksa berhijrah ke kawasan lain, terutama Pasir Gudang bagi mencari pekerjaan.

“Namun, semuanya berubah apabila Kopeja membuka peluang kepada anak tempatan mengasah kemahiran supaya kami dapat bekerja di PIC sebagai tenaga kerja mahir. Alhamdulillah, saya menyahut peluang ditawarkan Kopeja sejak 2019 lagi sebelum kini bertugas sebagai Penyelia bersama koperasi ini.

“Walaupun saya bermula sebagai juruelektrik sahaja, minat yang tinggi menyebabkan kini mendapat kemahiran baharu, termasuk terbabit menyelia kerja mekanikal bagi pemasangan paip minyak dan gas, selain kerja fabrikasi keluli di PIC,” katanya kepada BH

Berjaya ubah nasib

Mohd Hafizan (tengah) bersama anggota KOPEJA Oil & Gas Sdn Bhd.

Bagi Sheikh Farhan Sheikh Zainol, 36, yang bertugas sebagai juruteknik di Kopeja pula, peluang pekerjaan ditawarkan anak tempatan oleh Petronas menerusi Kopeja itu berjaya mengubah nasib dan cara hidup penduduk Pengerang. 

Beliau yang juga anak jati Kampung Telok Empang, Pengerang berkata, tawaran latihan dan penempatan kerja oleh Kopeja itu menyebabkan anak tempatan tidak lagi perlu berhijrah ke kawasan lain untuk mencari pekerjaan.

“Saya sebelum ini melakukan beberapa pekerjaan termasuk bekerja kilang selain bekerja di jeti bagi menambah pendapatan keluarga.

“Namun, peluang latihan dan pekerjaan daripada Kopeja menyebabkan saya mendapat bukan sahaja kemahiran baharu malah dapat bekerja dalam sektor minyak dan gas yang memerlukan kemahiran tinggi.

“Hasilnya penduduk Pengerang kini menikmati pembangunan dibawa Petronas dengan anak muda bekerja di PIC malah peniaga kecil yang dahulunya berniaga di tepi jalan kini mampu menyewa serta membeli premis sendiri berikutan limpahan kemakmuran di sini,” katanya.

Arash Zarkashie Muliade, 25, yang bertugas sebagai Penyelia di Kopeja pula mengimpikan semua penduduk Pengerang akan menikmati kemakmuran yang dibawakan Petronas menerusi PIC.

Katanya, sebelum PIC dibangunkan di Pengerang beliau serta anak muda lain tidak pernah bercita-cita untuk bekerja dalam sektor minyak dan gas.

“Seperti yang semua tahu, bukan mudah untuk bekerja dalam sektor minyak dan gas kerana ia memerlukan kemahiran dan kepakaran tertentu.

“Saya sendiri bermula kosong dalam bidang ini namun apabila saya terima tawaran Kopeja untuk dilatih dan diserap bekerja, ia akhirnya membuktikan tiada yang mustahil jika kita komited dan bersungguh-sungguh.

“Kini saya sedang belajar lagi selok-belok tugasan teknikal dan mekanikal sektor ini dan bercita-cita membangunkan syarikat mekanikal sendiri dan jadi vendor dalam industri minyak dan gas selain melatih bakat muda anak tempatan apabila berjaya nanti,” katanya.

Tak kekok laksana tugasan 

Nur Amirah Hazlan, 25, yang bertugas sebagai Jurutera di Kopeja berkata, walaupun dikelilingi rakan sekerja lelaki, beliau tidak kekok dalam melaksanakan tugasan yang diamanahkan kepadanya. 

“Saya adalah antara enam kakitangan wanita di Kopeja dan satu-satunya bertugas di tapak projek PIC bagi memastikan setiap projek yang diterima dilaksanakan dengan baik dan tidak bermasalah sehingga selesai.

“Antara tugasan saya adalah memastikan kerja pemasangan paip minyak dan gas dilakukan dengan sempurna tanpa isu, termasuk kebocoran berlaku selain memastikan mesin mekanikal yang digunakan berada dalam keadaan terbaik. Saya juga memeriksa tugasan dilakukan rakan sekerja lain supaya ia mengikut spesifikasi ditetapkan dengan keselamatan tertinggi.

“Saya turut berbangga kerana Kopeja sebagai koperasi anak tempatan kini semakin berjaya dalam sektor minyak dan gas sekali gus membuka bakat anak tempatan termasuk wanita bekerja dalam bidang yang mencabar ini,” katanya.

Bagi Nashran Ishak, 29, yang bertugas sebagai Penyelia di Kopeja pula berkata, sebagai anak tempatan beliau bersyukur diberikan peluang untuk memajukan diri sekali gus membantu keluarga.

“Alhamdulillah, peluang bekerja bersama Kopeja di PIC membuka pintu rezeki yang luas kepada penduduk tempatan. Jika sebelum ini terpaksa berjauhan dari keluarga kerana perlu berhijrah, namun kini peluang pekerjaan kepada anak tempatan terbuka luas dengan limpahan kemakmuran berikutan pembangunan PIC.

“Anak tempatan kini juga mampu memperoleh gaji yang selesa berbanding dahulu kerana kami dibekalkan latihan kemahiran berterusan dan peluang memajukan diri sekali gus mengubah cara hidup penduduk Pengerang.

“Jika dahulu, kawasan ini tidak membangun tetapi lihatnya sekarang dengan infrastruktur termasuk jalan raya empat lorong selain limpahan kemakmuran disebabkan pelaburan besar dibawa Petronas dan kerajaan ke kawasan ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top