Mesej damai Raja Dangdut Indonesia Rhoma Irama buat netizen serumpun

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Raja Dangdut Indonesia, Rhoma Irama, 79, menegaskan dia tidak bersetuju dengan tindakan segelintir netizen kedua-dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia yang sering bertelagah di media sosial.

Rhoma berkata, perbezaan pendapat tidak seharusnya menjadi punca hubungan dua negara serumpun yang mempunyai banyak persamaan dari segi budaya dan sejarah menjadi keruh.

“Kita tahu sejak akhir-akhir ini, ada netizen yang bercakap perkara yang kurang baik antara Malaysia dan Indonesia.

“Bagi saya, tidak bagus saling bergaduh. Tindakan netizen saling berbalah di media sosial juga tidak baik dan tidak wajar sama sekali.

“Jadi, gagasan yang cuba dibawakan Man Kidal melalui muzik untuk menyatukan Indonesia dan Malaysia membuatkan saya tertarik dan memberikan respons yang baik,” katanya ketika ditemui pada majlis makan malam anjuran gitaris legenda negara Man Kidal di sebuah hotel, di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, kata penyanyi yang popular menerusi lagu Begadang dan Darah Muda itu, pihaknya mahu menjadikan muzik sebagai jambatan untuk menjernihkan semula hubungan antara negara serumpun.

Katanya, kolaborasinya bersama gitaris legenda itu menerusi album Man Kidal Ke-45 Tahun Nusantara juga membawa mesej persahabatan dan perpaduan antara dua negara serumpun itu.

“Muzik dan seni mempunyai kekuatan tersendiri sebagai bahasa sejagat yang mampu merapatkan hubungan manusia tanpa mengira perbezaan,” katanya.

Dalam pada itu, Rhoma juga berharap Malaysia dan Indonesia terus saling menghargai serta berkongsi kekuatan dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk budaya dan seni.

“Dalam agama pun kita dilarang bergaduh, saling mencaci, memaki kerana perkara itu sangat tidak terpuji. Nauzubillah.

“Saya berharap kedua-dua negara boleh saling memberi dan menerima dalam pelbagai aspek kehidupan membabitkan bangsa dan negara,” katanya yang terbabit dalam menjayakan Pestapora Malaysia 2026 pada Sabtu lalu.

Pada masa sama, kata Rhoma, dia berharap kehadiran di ibu kota dapat memberikan sumbangan positif kepada kedua-dua negara.

“Dalam usia saya yang tidak muda lagi, mudah-mudahan saya boleh buat satu legasi dan sumbangan positif untuk Indonesia dan Malaysia,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top