Bapa didakwa cabul anak [METROTV]

Bapa didakwa cabul anak [METROTV]

Johor Bahru: Seorang bapa didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak perempuannya berusia 14 tahun, tahun lalu.

Pekerja pendawaian yang berusia 42 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Tertuduh yang memakai baju kemeja T biru dan berseluar pendek didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas anak perempuannya yang ketika itu berusia 14 tahun di sebuah rumah di Bandar Putra, Kulai pada Jun dan Februari 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang masing-masing membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan selain penjara maksimum lima tahun dan maksimum dua sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lydia Salleh manakala tertuduh diwakili peguam, Khairul Azwad Sariman.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh berikutan kesalahan jenayah seksual kanak-kanak tidak membenarkan jaminan diberi selain bagi memastikan keselamatan kanak-kanak perempuan yang juga anak kedua tertuduh terjamin.

Namun peguam meminta tarikh lain bagi membuat hujahan mengenai jaminan ke atas tertuduh.

Hakim kemudian menetapkan 25 April depan untuk sebutan semula kes berkenaan.

Scroll to Top