Pelaburan bijak pemilik rumah mahu jimatkan tenaga elektrik

Pelaburan bijak pemilik rumah mahu jimatkan tenaga elektrik

mahaizura@mediaprima.com.my

PEMASANGAN sistem solar di kediaman semakin menjadi pilihan apabila lebih ramai masyarakat mula melihat teknologi itu sebagai cara praktikal mengurangkan bil elektrik jangka panjang.

Perkembangan teknologi serta penurunan kos pemasangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini menjadikan sistem solar bukan lagi pilihan eksklusif pemilik banglo.

Malah, ia semakin mendapat perhatian pemilik rumah teres dan semi-D yang mahu mengurangkan beban bulanan bil elektrik.

Dekan Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Ir Dr Mohd Zainal Abidin Ab Kadir berkata, solar bukan sekadar trend semasa, sebaliknya satu pelaburan kewangan nyata jika dirancang dengan betul.

Katanya, penjimatan sebenar bergantung kepada sejauh mana sistem yang dipasang sesuai dengan corak penggunaan elektrik sesebuah rumah.

“Keputusan memasang solar perlu dibuat berdasarkan data penggunaan elektrik sebenar dan bukannya sekadar mengikut trend atau pengaruh orang sekeliling.

“Mereka yang sekadar mengikut jiran tanpa memahami bil sendiri sering kecewa, manakala mereka yang merancang berdasarkan penggunaan sebenar boleh menurunkan bil sehingga 50 hingga 90 peratus,” katanya.

Beliau yang juga penyelidik ‘Advanced Lightning, Power and Energy Research Centre UPM’ berkata, sejak perubahan tarif elektrik serta kos panel yang terus menurun, solar kini lebih menguntungkan berbanding lima tahun lalu.

Daripada segi kos, katanya, harga pemasangan sistem solar bagi rumah kediaman ketika ini dianggarkan antara RM3,000 hingga RM4,500 bagi setiap kilowatt-peak (kWp) termasuk panel, inverter, struktur pemasangan, pendawaian dan kos pemasangan.

“Rumah teres lazimnya memerlukan sistem tiga hingga lima kWp dengan kos RM10,000 hingga RM20,000, manakala semi-D antara RM20,000 hingga RM30,000. Banglo pula antara RM30,000 hingga RM55,000, bergantung kepada kapasiti sistem.

“Kebanyakan pemilik rumah mampu mendapatkan semula modal dalam tempoh empat hingga enam tahun jika pemasangan dibuat secara tunai.

“Selepas modal dipulihkan, pemilik rumah boleh menikmati tenaga yang dijana panel solar untuk tempoh 15 hingga 20 tahun lagi, bergantung kepada jangka hayat sistem,” katanya.

Mohd Zainal berkata, pemilik rumah yang perlu membayar bil elektrik RM250 hingga RM300 sebulan wajar mempertimbangkan pemasangan solar kerana pada tahap itu, pulangan pelaburan lebih berbaloi.

“Pengguna lazimnya menikmati penjimatan antara RM150 hingga RM500 sebulan bergantung kepada saiz sistem dan corak penggunaan elektrik isi rumah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata panel, solar moden mempunyai jangka hayat antara 20 hingga 25 tahun, manakala inverter biasanya perlu diganti sekali dalam tempoh 10 hingga 15 tahun.

“Penyelenggaraan sistem solar juga rendah kerana kebanyakan panel mampu dibersihkan secara semula jadi melalui hujan, selain hanya memerlukan pemeriksaan berkala bagi memastikan prestasi optimum,” katanya.

Menurut Mohd Zainal, rumah paling sesuai dipasang solar ialah kediaman yang mempunyai bumbung luas, kurang teduhan serta penggunaan elektrik yang aktif pada waktu siang.

“Rumah teres biasa juga masih boleh menikmati manfaat sama kerana sistem tiga hingga lima kWp sudah memadai untuk mengurangkan sebahagian besar bil elektrik bulanan,” katanya.

Beliau turut menepis tanggapan, panel solar tidak berfungsi ketika cuaca mendung atau musim hujan.

“Panel tetap menjana tenaga dalam cuaca mendung, cuma pada kadar lebih rendah. Sistem direka mengambil kira purata cuaca Malaysia sepanjang tahun termasuk musim tengkujuh.

“Keberkesanan sesuatu sistem bergantung kepada beberapa faktor termasuk orientasi bumbung, tahap teduhan, keluasan bumbung serta penggunaan elektrik pada waktu siang ketika panel sedang menjana tenaga,” katanya.

Mohd Zainal berkata, solar mungkin bukan keperluan untuk semua rumah, namun bagi kediaman yang mempunyai bil sederhana hingga tinggi serta penggunaan aktif pada waktu siang, ia satu pelaburan yang wajar dipertimbangkan.

“Jangan pasang kerana ikut trend dan jangan tunggu selamanya kerana takut harga.

“Sebaliknya, fahami bil anda, dapatkan beberapa sebut harga daripada pemasang berdaftar Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) dan buat keputusan berdasarkan nombor sebenar rumah anda sendiri,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top