mahaizura@mediaprima.com.my
SEBANYAK 586 unit apartmen servis yang dihubungkan terus dengan Stesen MRT Cochrane bakal dibangunkan menerusi projek pembangunan berorientasikan transit (TOD), ‘THE LINQUE’ membabitkan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM600 juta.
Pembangunan itu menandakan projek TOD pertama Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) di Lembah Klang serta menjadi pencapaian penting dalam pelaksanaan strategi ‘Rail Plus Property’ syarikat berkenaan.
Dibangunkan menerusi kerjasama strategik antara MRT Corp dan IJM Land, apartmen servis itu disepadukan dengan komponen runcit serta mempunyai hubungan terus dengan Stesen MRT Cochrane melalui laluan berbumbung.
Ia menawarkan kediaman dengan akses lancar kepada pengangkutan awam selain menempatkan kemudahan gaya hidup, peruncitan dan keperluan harian dalam jarak yang mudah dicapai.
Ketua Pegawai Eksekutif IJM Land Berhad Tony Ling Thou Lung berkata, projek itu mencerminkan komitmen syarikat dalam membangunkan projek yang memenuhi perubahan gaya hidup dan keperluan bandar pada masa depan.
Katanya, aspek ketersambungan, kemudahan dan kualiti hidup menjadi antara elemen utama diberi perhatian dalam pembangunan itu.
Majlis pelancaran projek itu disempurnakan Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Mohd Zarif Hashim.
THE LINQUE terletak di atas Stesen MRT Cochrane dan mempunyai akses terus ke rangkaian MRT yang menghubungkan pelbagai lokasi utama di ibu negara termasuk Tun Razak Exchange (TRX) serta stesen pertukaran MRT Maluri.
Pembangunan itu turut dikelilingi pusat beli-belah serta pelbagai kemudahan kesihatan, institusi pendidikan dan komuniti kediaman yang matang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




