Kelantan FC idam miliki pesawat sendiri

Kelantan FC idam miliki pesawat sendiri

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selain pusat latihan sendiri, Kelantan FC turut mengimpikan memiliki sebuah pesawat sendiri dalam beberapa tahun akan datang.

Perkembangan itu dikongsikan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman yang mengakui bercadang mempunyai sebuah pesawat untuk digunakan kelabnya.

Katanya, perbincangan sudah dilakukan bersama pihak tertentu ke arah itu dan beliau melihat pemilikan aset pesawat bakal menjimatkan kos perjalanan jauh pasukan selain ia mampu menjana pendapatan kepada kelab.

“Kita selalu melakukan perjalanan ke Sarawak, Sabah dan perjalanan ini amat memenatkan.

“Jadi apa kata mungkin satu hari ini nanti (kelab ada pesawat sendiri), setiap orang tak salah untuk ada impian, angan-angan dan cita-cita. Mungkin kita boleh beli satu pesawat peribadi, tapi bukan yang baharu, kita beli yang terpakai.

“Saya pun sudah semak melalui seorang kapten yang bawa pesawat peribadi.

“Mungkin ia memberi impak yang positif sebab kita tak perlu lagi membayar RM30,000 atau RM50,000 untuk satu perjalanan sebab ramai nak bawa 30 orang.

“Jadi kita beli yang besar sedikit, kalau setahun 50 kali terbang sana sini kita ada pesawat kita sendiri. Kalau tak ada perlawanan kita boleh sewakan,” katanya.

Ketika ini, hanya pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Tunku Ismail Sultan Ibrahim mempunyai pesawat sendiri yang digunakan ahli keluarga kerabat Diraja Johor itu.

Sebelum ini, Norizam berkongsi akan membina pusat latihan sendiri dan gimnasium bagi digunakan kelab dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top