bhnews@bh.com.my
BINTULU: Satu cubaan menyeludup diesel sebanyak 16,000 liter berjaya ditumpaskan sepasukan Unit Risikan Marin, Pasukan Polis Marin Wilayah 5 (PPMW5) Bahagian Bintulu di kawasan Kilometer 33 Jalan Bintulu-Miri, malam tadi.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPMW5 Bahagian Bintulu, Asisten Superintendan Ezuandi Bahadin, berkata lori itu yang sedang lalu di kawasan berkenaan dilihat berada dalam keadaan mencurigakan sebelum anggota PPMW5 Bahagian Bintulu menahannya bagi pemeriksaan.
“Pemeriksaan yang dijalankan mendapati lori terbabit sarat dengan muatan diesel 16,000 liter dalam anggaran nilai RM34,000,” katanya.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati, pemandu lori yang juga lelaki tempatan berusia 32 tahun gagal mengemukakan sebarang dokumen sah menyimpan barang kawalan tanpa permit dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Katanya, anggotanya membuat laporan polis berhubung penahanan suspek sebelum kes diserahkan kepada KPDNHEP Bahagian Bintulu untuk siasatan lanjut.
“Lori terbabit yang bernilai RM150,000 turut disita menjadikan jumlah keseluruhan rampasan termasuk diesel berjumlah RM184,000,” katanya.
Ezuandi berkata, setakat ini belum dapat dipastikan ke mana diesel terbabit hendak diseludup dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
© New Straits Times Press (M) Bhd




