razis@mediaprima.com.my
SEBAIK melangkah masuk ke rumah ini, penulis dan jurugambar terus dikerumuni hampir 40 kucing yang dipelihara Mohd Baharim Abu Bakar, 44, dan pasangannya, Nur Hanariawati Mohd Najib, 42.
Terdahulu, penulis sudah dimaklumkan bahawa kucing yang dipelihara ini sangat jinak dan ‘peramah’ dengan sesiapa sahaja yang berkunjung ke rumah teres dua tingkat di Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor.
Kemudian penulis terus dibawa naik ke tingkat atas untuk melihat baki 13 kucing kurang upaya yang buta, lumpuh dan masalah saraf dalam bilik tidur utama rumah itu.
Perkara sama berlaku, apabila kami sekali lagi disambut dengan mesra oleh semua kucing terbabit tanpa ada perasaan takut.
Uniknya biarpun ada antara kucing terpaksa menyeret kedua-dua belah kaki belakang yang lumpuh, ia tetap dilihat aktif bergerak dan bermain seperti kucing normal lain.
Masing-masing mempunyai karakter tersendiri termasuk Awang dilihat agak aktif dan nakal manakala Puma dilihat lebih tenang.
Pasangan suami isteri ini juga aktif berkongsi di aplikasi TikTok bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat berkenaan penjagaan kucing kurang upaya.
Mohd Baharim berkata, semua 56 kucing normal dan kurang upaya yang ditempatkan rumahnya itu sudah dilatih untuk tidak takut dengan orang tidak dikenali dan tidak bergaduh sesama sendiri.
Katanya, selain itu kucing kurang upaya dirawat dan diajar bergerak serta bermain seperti kucing normal lain.
“Ia juga dilatih mengikuti rutin harian ditetapkan termasuk waktu makan, bermain dan tidur.
“Biarpun mengalami masalah kurang upaya, kami tidak mahu kucing ini hanya terbaring. Ia akan dilayan seperti kucing normal lain, cuma mungkin dari segi penjagaan sedikit berbeza.
“Saya menggunakan ilmu yang dimiliki sebagai perunding kucing untuk melatih kucing kurang upaya ini supaya boleh berdikari,” katanya.
Menurutnya, idea untuk memelihara kucing kurang upaya ini tercetus apabila melihat banyak kucing teraniaya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Saya mula menyelamatkan seekor kucing yang dinamakan Suri di Petaling Jaya. Melalui kucing ini kami banyak belajar bagaimana menguruskan kucing kurang upaya.
“Sejak itu, kami mula menyelamatkan dan memelihara kucing kurang upaya di rumah sama ada dimaklumkan individu atau yang ditemui sendiri,” katanya.
Katanya, setiap kucing kurang upaya yang diselamatkan ini datang daripada seluruh negara mempunyai pelbagai kisah tersendiri.
“Ada yang cedera parah akibat digigit anjing, dilanggar kenderaan, tersepit pagar elektrik dan sebagainya. Melihat semangat haiwan ini untuk terus hidup biarpun ada yang mengalami kecederaan selama beberapa hari, memberi keinsafan kepada diri.
“Selepas diselamatkan, kucing ini diberikan rawatan terbaik bergantung jenis kecederaan dihadapi termasuk menjalani pembedahan, dimasukkan besi, imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) dan X-ray untuk mengenal pasti punca penyakit,” katanya.
Mengulas lanjut, bapa kepada tiga anak ini mengakui kos penjagaan dan rawatan untuk semua kucing peliharaannya agak tinggi sehingga mencecah ribuan ringgit sebulan.
“Selain makanan khas, kami perlu menyediakan lampin pakai buang, tisu basah dan ubat. Untuk kos rawatan pula bermula dari ratusan sehingga ribuan ringgit.
“Biasanya apabila orang bertanya, saya tidak berikan jumlah spesifik kerana perbelanjaan ini tidak tetap bergantung kepada tahap kesihatan kucing,” katanya.
Mohd Baharim berkata, dia bersyukur kerana pendapatannya tidak pernah putus apabila sering mendapat permintaan menguruskan kucing pelanggan.
“Melalui rezeki yang diperoleh ini saya kongsikan dengan kucing di rumah. Selain itu, kami juga memperoleh sumbangan daripada individu yang ingin sama-sama membantu,” katanya.
Biarpun begitu, bagi Nur Hanariawati, ia bukan satu bebanan kepada mereka untuk terus menjaga kebajikan dan memastikan keselesaan kucing ini.
“Apabila sering meluangkan masa dengan kucing ini, saya sudah terbiasa dengan rutin harian dalam menguruskan haiwan ini. Ia juga menjadi terapi kepada diri biarpun perlu berada hampir sepanjang masa di rumah.
“Saya ambil tanggungjawab ini secara rela hati dan melihat kehadiran kucing ini sebagai ujian kepada diri. Ini adalah cara saya bersedekah dan memperoleh saham akhirat.
“Pada masa sama, saya berharap perkongsian di TikTok pada setiap malam tidak dilihat untuk meraih simpati, namun sebagai platform untuk berkongsi ilmu dan membuka ramai pihak untuk bersama-sama menjaga kucing kurang upaya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




