KUALA LUMPUR – Pelakon Ratu The Movie, Bkay Nair tidak pernah menutup pintu hati untuk kembali aktif dalam dunia seni selepas lama menyepi apabila menceburi dunia perniagaan.
Bkay atau nama sebenarnya Tryambikay Vengades berkata, istilah merajuk tidak pernah ada dalam dirinya kerana masih menerima tawaran secara tiba-tiba walaupun tidak pernah mengharapkannya lagi.
Wanita berusia 40 tahun itu mengakui dapat melepaskan rindu kembali ke set penggambaran kerana ia merupakan sebahagian dari jiwanya.
“Sebenarnya saya bukan menyepi tapi mahu beri fokus pada perniagaan. Semangat hendak berlakon memang kerana saya masih terima tawaran tanpa disangka.
“Saya boleh cakap tak mahulah terima tetapi bila dapat tawaran pergi dan dapat keseronokan semula berlakon di set pengggambaran,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai kehidupan peribadinya, wanita yang berasal dari Kulai, Johor ini berkata mengakui masih solo selepas bercerai dengan suaminya, Mike Tan pada tahun 2019.
Bagaimanapun dia tidak pernah serik untuk kembali berumah tangga jika menemui pasangan hidup yang serasi.
“Hati saya masih terbuka untuk mengenali seseorang asalkan lelaki itu mampu menjaga saya dan baik, saya akan terima.
“Buat masa sekarang, saya sendiri masih belum bertemu pengganti yang sesuai. Jika ada rezeki untuk berkahwin lagi saya tidak menolak,” ujarnya.
Bkay Nair sebelum ini mendirikan rumah tangga bersama bekas suaminya, Mike Tan di Buudhist Maha Vihara, Brickfields pada 7 Disember 2015 dan berpisah secara rasmi pada April 2018. Bagaimanapun, pasangan ini tidak dikurniakan cahaya mata.

Mengulas lanjut, Bkay memberitahu dia mempunyai impian yang sangat tinggi dalam dunia perniagaan kerana mahu jenama Bkay Nair Resources dikenali di negara ini.
Kata wanita ini, dia mahu nama jenama itu menjadi besar seperti Jimmy Choo yang terkenal di persada antarabangsa.
“Saya memang sibuk dengan perniagaan latihan korporat dan pengurusan acara yang saya usahakan dan menjadi impian saya untuk berjaya dalam dunia ini.
“Apatah lagi saya mempunyai kakitangan untuk diberi perhatian dan menjaga kebajikan mereka,” katanya.
Sementara itu, Bkay memberitahu, pihaknya mahu memperkenal keunikan dan budaya pemakaian sari di Malaysia sambil memberi kesedaran tentang Sindrom Down menjadi matlamat penganjuran acara pertunjukan fesyen World Saree Day Malaysia.
Dia berkata program yang bakal menampilkan lebih 60 sari pelbagai material, tekstil dan gaya itu juga bertujuan mengumpul dana tambahan untuk perbelanjaan latihan kerjaya dan pembelajaran golongan Sindrom Down.
“Acara ini adalah gabungan antara amal, pendidikan, budaya dan fesyen yang diharap memberi peluang kepada komuniti ini menunjukkan keupayaan dan potensi mereka selain memberi pendedahan kepada masyarakat tentang tradisi dan budaya pakaian tradisional India iaitu sari.
“Acara yang akan menampilkan sari seperti kanchipuram dan banarasi yang merupakan antara pakaian termahal dalam tradisi itu juga akan melibatkan peragaan oleh 10 model Sindrom Down berpengalaman.
Acara itu akan berlangsung pada 19 Mac di Dewan Tun Abdul Razak, Menara Kembar Bank Rakyat di sini bermula 2.30 petang dan akan turut menampilkan persembahan kebudayaan oleh Jabatan Kesenian dan Kebudayan Negara dan bakal dihadiri Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar. – MalaysiaGazette




