am@hmetro.com.my
Pasir Gudang: Empat beradik yang hidup serba kekurangan dan kebuluran akibat terputus bekalan makanan selama empat hari, diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), hari ini.
Pegawai JKM Daerah Johor Bahru, Adnan Md Yassin berkata, tindakan diambil hasil aduan yang diterima daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Permata Baiduri Malaysia.
Katanya, mengikut pengaduan, empat kanak-kanak didakwa hidup tanpa penjagaan dan pihaknya membuat lawatan ke kediaman mereka di SEDC, Taman Air Biru di sini pada 3 petang.
“Ketika tiba, ibu empat beradik itu masih tiada di rumah, sebaliknya wakil Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) sedang membaiki tombol pintu rumah berkenaan.
“Terdapat juga kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang melakukan sambungan elektrik di rumah berkenaan dan bekalan air juga sudah ada.
“Berdasarkan maklumat bil elektrik dan air akan dijelaskan oleh NGO tertentu,” katanya ketika dihubungi.
Adnan berkata, hasil lawatan, empat beradik itu dibawa keluar untuk pemeriksaan kesihatan, manakala pelindung JKM membuat laporan di Balai Polis Pasir Gudang bagi tujuan pengambilan kanak-kanak.
“Kanak-kanak berkenaan mungkin dimasukkan ke wad bagi tujuan pemeriksaan kesihatan dan proses pencarian keluarga akan dilakukan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“JKM juga akan melakukan semakan di penjara Kluang dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) berkaitan rekod ibu bapa mereka yang difahamkan berusia 38 tahun dan 31 tahun (ibu).
“Mereka memiliki lapan cahaya mata namun pelindung mendapati hanya empat kanak-kanak berada di rumah berkenaan ketika lawatan dilakukan,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar TNB Johor, Mohamed Noh Md Seth mengesahkan penyambungan semula bekalan elektrik di kediaman itu pada 3.30 petang.
Harian Metro melaporkan empat beradik berusia lima hingga 13 tahun kebuluran selama empat hari selepas ibu mereka tidak pulang, malah meninggalkan RM2 untuk kegunaan mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd
