‘Mama’ gagah pikul tugas sebagai Pengarah Bomba wanita

Alor Setar: Menggalas tanggungjawab sebagai ketua dalam jabatan kerajaan antara tugas berat dan mencabar perlu dipikul seorang wanita.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saidon berkata, selama dua tahun dia berjaya menjalankan tugas mencabar itu dengan baik dan sudah sebati dalam dirinya.

Beliau dilantik sebagai Pengarah Bomba wanita pertama di negara ini, dua tahun lalu dan berusaha untuk menjalankan tugas dengan baik.

Dia yang mesra dipanggil ‘Mama’ dalam kalangan anggota dan pegawai JBPM Kedah selain gelaran ‘Iron Lady’ itu tidak mahu mendabik dada dengan jawatan diberikan.

Katanya, ketika negara berdepan dengan penularan Covid-19 ini, dia memerlukan kerjasama daripada semua pihak terutama pegawai dan anggotanya yang kebanyakannya kaum lelaki.

“Saya tak nafikan, antara cabaran paling getir apabila ada sebahagian anggota dan pegawai di beberapa Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di negeri ini dijangkiti Covid-19.

“Mereka perlu dikuarantin sehingga menjejaskan operasi di balai berkenaan menyebabkan saya sebagai ketua perlu berganding bahu dengan pegawai kanan untuk menyusun semua strategi di balai berkenaan supaya tidak terjejas ketika menjalankan tugas,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat JBPM Kedah, di sini hari ini.

Sayani berkata, pada sambutan Hari Wanita Sedunia hari ini, beliau berharap supaya tanggapan negatif masyarakat berkaitan keupayaan wanita sebagai ketua dalam menerajui setiap urusan perlu dilupuskan.

Beliau berkata, baginya tiada istilah ‘tidak boleh’ diguna pakai dalam setiap tugas dilaksanakan.

“Saya sentiasa bersiap sedia apabila diarahkan menjalankan tugas pada bila-bila dan tegas dengan setiap amanah diberikan.

“Pengalaman hampir 23 tahun dalam kerjaya bomba ini memberi cabaran buat saya apatah lagi ketika negara sedang berdepan dengan Covid-19,” katanya.

Sayani berkata, JBPM Kedah turut memiliki 31 anggota dan pegawai wanita yang mampu melakukan tugas selain mempunyai lebih 700 anggota dan pegawai lelaki.

Katanya, banyak dipelajarinya berdasarkan pengalaman ketika menjalankan tugas dan akan cuba membaiki untuk memantapkan lagi tugas di JBPM Kedah.

Scroll to Top