sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Usianya baru saja mencecah 15 tahun namun atlet lari berpagar 100 meter (m) kelahiran Perak, Farah Syakira Azifsafarin dijangka mampu mencipta kejutan dengan menghadirkan kilauan pingat di temasya Sukan Sea Kemboja Mei ini.
Keyakinan itu dilaungkan sendiri jurulatih atlet itu, Muhd Khairi Amri berdasarkan prestasi yang ditunjukkan ketika sesi latihan yang berlangsung ketika ini.
Malah katanya, sebagai persiapan menjelang ke temasya dwi tahunan itu, Farah Syakira akan menyertai Kejohanan Olahraga Remaja Asia bawah-18 yang akan diadakan Tashkent, Uzbekistan April ini
“Saya menjangkakan Farah Syakira mampu untuk buat kejutan di Sukan Sea. Warna apa pingat itu kita saya tak tahu Wallahualam.
“Sebab sebelum ke Sukan Sea Farah Syakira akan menyertai kejohanan olahraga remaja Asia B-18 yang mana ia akan menjadi medan terbaik untuk persiapan dirinya.
“Malah di kejohanan itu, ketinggian palang Farah Syakira akan rendah berbanding Sukan Sea. Saya lihat situasi itu agak bagus kerana kalau kita lihat pelumba yang berlari dengan ketinggian rendah lepas itu tinggi ia akan membantu momentum mereka.
“Jadi saya lihat ia peluang yang terbaik untuk Farah Syakira mencipta sesuatu di temasya Sukan Sea sekiranya dia boleh bagi aksi yang terbaik di Tashkent nanti,” katanya.
Sebelum ini Farah Syakira mencipta sensasi apabila berjaya meraih pingat perak di Sukan Malaysia (Sukma) menewaskan atlet yang lebih berusia darinya.
Dalam pada itu ketika ditanya sama ada atletnya itu bakal berdepan tekanan di temasya Sukan Sea, Muhd Khairi menjangkakan perkara itu tidak akan berlaku memandangkan dia menyifatkan atlet itu sebagai seorang yang matang.
Malah katanya, Farah Syakira juga mempunyai kebolehan untuk menyerap tekanan yang tinggi berbanding atlet muda yang sama usia dengannya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




